Rawatan sedutan bronkodilator bertindak lama untuk membuka saluran pernafasan dalam fibrosis sistik

Soalan tinjauan

Kami mengulas bukti untuk manfaat bronchodilator bertindak lama (rawatan yang membuka saluran pernafasan yang sering dipanggil "pelega") dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik.

Latar belakang

Fibrosis sistik mempengaruhi banyak sistem dalam badan, terutamanya cara paru-paru berfungsi. Terdapat pembentukan lendir likat yang menebal yang membuat pernafasan lebih sukar dan membuat orang dengan fibrosis sistik lebih cenderung mendapat jangkitan di paru-paru mereka. Bronkodilator yang bertindak pendek dan panjang dipreskrib untuk kebanyakan orang dengan fibrosis sistik untuk meluaskan saluran pernafasan dan memperbaiki gejala-gejala. Ulasan ini menggantikan sebahagian ulasan terawal bagi kedua-dua bronkodilator bertindak pendek dan bertindak panjang. Walau bagaimanapun, kerana kekurangan penyelidikan di kawasan ini, kami tidak merancang untuk mengemas kini ulasan ini mengenai bronkodilator yang disedut dengan tindakan lama.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 10 Oktober 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat kajian dalam ulasan kami, dengan jumlah 1082 orang yang berumur antara lima bulan hingga 70 tahun. Kajian yang disertakan dalam ulasan ini melihat kesan-kesan dua jenis bronkodilator sedutan yang bertindak panjang (agonis beta-2 seperti salmeterol, dan antagonis muscarinic saperti. tiotropium). Kajian-kajian berlangsung antara 28 hari dan 12 minggu.

Hasil utama

Kajian kecil agonis beta-2 berbanding plasebo (tiada ubat aktif) melaporkan beberapa penambahabaikan dalam fungsi paru-paru (isi padu ekspiratori paksa pada satu saat (FEV1)) selepas rawatan, tetapi tidak menyediakan data yang boleh kami analisis. Kajian-kajian tidak melaporkan sebarang kesan sampingan.

Hanya satu daripada tiga kajian yang membandingkan tiotropium kepada plasebo yang melaporkan FEV1 (diukur dalam liter) dan mendapati sedikit perbezaan di antara rawatan dan plasebo. Dua daripada kajian tersebut melaporkan kualiti hidup, tetapi tiada bukti yang cukup untuk mengulas sama ada kualiti hidup bertambah baik atau tidak. Tiga kajian mencatatkan kesan sampingan,sesetengah dilihat selepas rawatan dengan tiotropium, tetapi gejala-gejala ini juga dilihat dalam kumpulan orang yang diberi plasebo. Kajian masa depan akan meningkatkan pengetahuan kita jika mereka mengukur kesan sampingan dan kualiti hidup dengan cara yang lebih bermakna.

Kualiti bukti

Hanya 16 orang mengambil bahagian dalam kajian agonis beta-2 yang hanya berlangsung selama 28 hari, yang membuat kebolehpercayaan keputusan kurang. Kajian-kajian antagonis muskarinik melibatkan 1066 orang dan kajian-kajian itu dilihat berjalan dengan baik. Kami tidak fikir sebarang faktor reka bentuk boleh mempengaruhi keputusan dengan cara yang negatif.

Tiada satu pun kajian berlangsung lebih dari 12 minggu yang menjadikannya sukar untuk memberi komen tentang kesan-kesan dalam tempoh masa yang lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information