Program-program penurunan berat badan untuk pemandiri kanser payudara yang berlebihan berat badan dan obes: apakah manfaat dan kemudaratan mereka, dan adakah mereka membantu pemandiri untuk hidup lebih lama?

Apakah berat badan yang sihat?

Indeks jisim badan (BMI) menilai sama ada seseorang mempunyai berat badan yang sihat untuk ketinggian mereka. BMI 18 hingga 25 menunjukkan berat badan yang sihat, BMI lebih daripada 25 menunjukkan berat badan berlebihan, dan BMI lebih daripada 30 menunjukkan obesiti.

Kanser payudara dan berat badan

Orang dengan BMI lebih daripada 25 lebih cenderung untuk mendapat pengulangan kanser payudara mereka. Obesiti juga boleh menjejaskan kualiti hidup (kesejahteraan) seseorang dan boleh menyebabkan keadaan yang serius dan mengancam nyawa, termasuk kencing manis jenis 2, penyakit jantung koronari dan angin ahmar. Selepas rawatan yang berjaya untuk kanser payudara, orang dengan BMI lebih daripada 25 dinasihatkan untuk menurunkan berat badan.

Menurunkan berat badan

Kaedah yang paling lazim untuk menurunkan berat badan adalah mengurangkan jumlah kalori yang dimakan dan meningkatkan aktiviti fizikal. Diet yang sihat dan berkalori rendah dan senaman yang kerap boleh digabungkan dengan sokongan psikososial. Beberapa program penurunan berat badan merangkumi semua tiga elemen.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengenal pasti program penurunan berat badan yang mana paling berkesan untuk membantu pemandiri kanser payudara yang berlebihan berat badan dan obes menurunkan berat badan; dan sama ada program-program itu mempunyai kelebihan atau kesan-kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai program penurunan berat badan bagi pemandiri kanser payudara peringkat awal yang mempunyai BMI lebih daripada 25 dan tiada bukti kanser mereka telah kembali. Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana program diterima orang ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan sesuatu program.

Kami ingin mengetahui bagaimana program penurunan berat badan mempengaruhi:
-berapa lama orang hidup;
-sama ada kanser payudara mereka kembali;
-jangka masa sebelum kanser kembali;
-berapa banyak orang yang mati;
-berat badan;
-ukuran saiz pinggang;
-kualiti hidup (kesejahteraan) orang; atau
-sebarang kesan yang tidak diingini.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Jun 2019.

Apa yang kami temui

Kami menemui 20 kajian yang relevan dengan 2028 wanita. Kajian-kajian itu membandingkan penyertaan dalam program penurunan berat badan dengan tidak menyertainya tetapi menerima penjagaan biasa, rawatan plasebo (palsu), program penurunan berat badan yang berlainan jenis, maklumat bertulis, atau berada dalam senarai menunggu. Semua program merangkumi perubahan diet; beberapa menggabungkannya dengan senaman atau sokongan psikososial, atau kedua-duanya.

Kebanyakan kajian dijalankan di AS. Program-program penurunan berat badan itu berjalan selama dua minggu ke dua tahun; orang yang menyertainya diikuti selama tiga bulan ke 36 bulan selepas memulakan program mereka.

Tiada kajian melaporkan keputusan untuk: berapa lama orang hidup; atau jangka masa sebelum kanser mereka kembali, atau berapa banyak orang yang mati. Beberapa kajian melaporkan mengenai kesan program penurunan berat badan terhadap pengembalian kanser payudara.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan mereka yang tidak menyertai program penurunan berat badan, pemandiri kanser payudara dengan BMI lebih daripada 25 yang mengambil bahagian boleh:
-menurunkan lebih banyak berat badan;
-mempunyai penurunan saiz pinggang dan BMI yang lebih besar; dan
-meningkatkan kesejahteraan mereka.

Mengambil bahagian dalam program penurunan berat badan tidak menyebabkan lebih banyak kesan yang tidak diingini.

Program yang menggabungkan diet dengan senaman atau sokongan psikososial, atau kedua-duanya, didapati mengurangkan berat badan dan saiz pinggang lebih banyak daripada program berdasarkan perubahan diet sahaja.

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini secara umumnya rendah. Kami mengenal pasti batasan dalam cara beberapa kajian direka dan dijalankan, dan orang yang mengambil bahagian dan yang menilai mereka mengetahui siapa menerima rawatan yang mana, yang boleh mempengaruhi keputusan kajian.

Kesimpulan

Program penurunan berat badan dapat membantu pemandiri kanser payudara yang berlebihan berat badan dan obes menurunkan berat badan, mengurangkan BMI dan saiz pinggang mereka, dan meningkatkan kualiti hidup mereka, tanpa meningkatkan kesan yang tidak diingini. Kami tidak menemui bukti mengenai sama ada mereka dapat membantu orang hidup lebih lama, atau melambatkan pengembalian kanser payudara.

Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk mengetahui program penurunan berat badan yang mana paling berkesan untuk membantu pemandiri kanser payudara menurunkan berat badan, dan sama ada ini membantu mereka hidup lebih lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norsarwany Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information