Latarbelakang
Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius yang menjejaskan kira-kira 21 juta manusia di serata dunia. Simptom-simptom skizofrenia biasanya dikelaskan kepada kumpulan-kumpulan positif (contoh: halusinasi dan pemikiran berdelusi), negatif (contohnya menyendiri dan kesukaran untuk berinteraksi sosial) dan kognitif (contoh, perhatian yang lemah dan memori kerja yang terhad). Simptom-simptom ini menyebabkan gangguan dalam tingkah laku individu, pemikiran, emosi, perasaan diri dan persepsi. Biasanya, ubat antipsikotik digunakan untuk merawat simptom-simptom skizofrenia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keradangan (bengkak) dalam otak seseorang telah dikaitkan dengan simptom yang mengiringi skizofrenia. Aspirin adalah ubat mampu dibeli yang bertindak terhadap keradangan dan, oleh itu, ia dianggap dapat membantu mengurangkan simptom-simptom skizofrenia. Dalam ulasan ini, kami meniliti kesan menggunakan aspirin sebagai rawatan tambahan untuk pesakit skizofrenia.
Ciri-ciri kajian
Selepas mencari pangkalan data Skizofrenia Cochrane pada bulan Mac 2018 dan menilai hasil carian, kami masukkan satu kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta diletakkan secara rawak ke dalam satu dari dua atau lebih kumpulan rawatan) dari Netherlands (70 peserta) dan satu dari Iran (60 peserta). Kedua-dua kajian menggunakan aspirin sebagai rawatan tambahan kepada ubat antipsikotik standard dan dibandingkan dengan plasebo (rawatan dami / semu), juga sebagai tambahan kepada rawatan standard.
Keputusan-keputusan utama
Peserta yang menerima aspirin mempunyai keputusan yang lebih baik sedikit untuk keadaan mental mereka, yang diukur dengan Skala Simptom Positif dan Negatif (PANSS). Untuk kesan sampingan yang berkaitan dengan masalah perut, tidak ada perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan. Perkara yang sama berlaku kepada perubahan dalam status hospital dan penarikan diri dari kajian di peringkat awal. Bagaimanapun, semua keputusan ini adalah berdasarkan analisis data yang sangat lemah dan digredkan sebagai bukti berkualiti rendah. Tiada kajian yang memberikan maklumat yang boleh digunakan mengenai fungsi kognitif atau kualiti hidup.
Kualiti bukti
Kajian ini adalah berdasarkan keputusan dari dua kajian kecil, yang menjadikannya mustahil untuk mengatakan samada aspirin akan menjadi pilihan rawatan yang baik untuk pesakit skizofrenia. Maklumat lanjut daripada kajian yang sedang dijalankan boleh mengukuhkan keputusan analisis ini.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my