Soalan Ulasan
Dalam kalangan orang dengan atropi otot spina (SMA) jenis 3, adakah latihan senaman fizikal memperbaiki fungsi motor, kesihatan kardiovaskular, kekuatan otot, keletihan, tahap aktiviti fizikal, atau kualiti hidup, dan adakah ia mempunyai kesan yang tidak diingini?
Latar belakang
Latihan senaman fizikal boleh memperbaiki kesihatan fizikal orang dengan SMA jenis 3 dan melindungi mereka daripada kehilangan otot akibat ketidakaktifan dan progresi penyakit. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada latihan senaman fizikal selamat atau bahagian spesifik program senaman yang mana mungkin membantu. Kami mengulas bukti tentang kesan latihan senaman fizikal dalam kalangan orang dengan SMA jenis 3.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.
Ciri-ciri kajian
Kami menyertakan satu kajian yang mengkaji kesan selama enam bulan, program latihan di rumah yang menggabungkan senaman untuk meningkatkan kekuatan otot dengan latihan senaman aerobik (senaman yang meningkatkan pernafasan dan kadar denyut jantung). Latihan senaman aerobik yang diguna di dalam kajian adalah latihan berbasikal baring (berbasikal duduk, dengan sokongan belakang). Kajian tersebut melibatkan 14 orang dengan SMA jenis 3, yang mana semua berupaya untuk berjalan. Peserta berumur antara umur 10 tahun dan 48 tahun dan mempunyai SMA jenis 3 dengan keterukan ringan ke sederhana. Jenis intervensi tidak mungkin menyembunyikan kumpulan rawatan daripada peserta atau kakitangan, yang merupakan limitasi penting apabila ukuran adalah bergantung kepada penilaian atau usaha peserta.
Sumber pembiayaan kajian
Kajian yang dimasukkan disokong oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan Yayasan SMA.
Keputusan utama dan kepastian bukti
Peserta melakukan latihan kekuatan seperti yang dipreskrib, tetapi hanya separuh daripada mereka melengkapkan program senaman aerobik penuh.
Kesan latihan senaman fizikal dalam kalangan orang dengan SMA jenis 3 masih tidak jelas, kerana bukti adalah tidak pasti.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.