Terapi tambahan carisbamate untuk epilepsi fokus yang tahan ubat

Latar belakang

Epilepsi adalah salah satu gangguan kronik sistem saraf yang paling biasa. Kebanyakan orang yang menghidap epilepsi dapat mengawal keadaan mereka menggunakan ubat antiepileptik tunggal; walau bagaimanapun, ramai orang yang menghidap epilepsi adalah tahan ubat dan perlu mengambil pelbagai ubat antiepileptik. Carisbamate mungkin berguna untuk epilepsi fokus yang tahan ubat (epilepsi yang mana sawan bermula di satu kawasan otak).

Tujuan ulasan

Ulasan ini menilai keberkesanan dan toleransi carisbamate apabila digunakan sebagai rawatan tambahan (rawatan yang ditambah kepada ubat antiepileptik lain) untuk epilepsi fokus yang tahan ubat.

Bukti adalah terkini sehingga April 2021.

Keputusan utama

Kami mendapati empat kajian melibatkan seramai 2211 peserta, yang berumur 16 tahun dan ke atas. Satu pertiga lebih orang mengalami pengurangan 50% atau lebih dalam kekerapan sawan apabila menerima carisbamate tambahan berbanding yang menerima plasebo tambahan (pil palsu).

Dua kali lebih ramai orang dalam kumpulan carisbamate menjadi bebas daripada semua sawan berbanding kumpulan plasebo. Lebih ramai orang dalam kumpulan carisbamate menarik diri daripada rawatan atas sebarang sebab dan menarik diri kerana kesan sampingan berbanding kumpulan plasebo. Tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mengalami salah satu daripada lebih banyak kejadian buruk antara kumpulan carisbamate dan plasebo. Kira-kira dua kali lebih ramai orang dalam kumpulan carisbamate mengalami pening dan mengantuk berbanding kumpulan plasebo.

Kepastian bukti

Kajian yang disertakan berisiko berat sebelah disebabkan oleh bilangan penarikan diri peserta yang tinggi, terutamanya apabila diberi dos carisbamate yang tinggi. Bukti untuk pengurangan 50% atau lebih dalam kekerapan sawan adalah kepastian sederhana, bermakna kami agak pasti bahawa penemuan yang kami laporkan adalah tepat. Bukti untuk keputusan lain (kebebasan dari sawan, penarikan diri dari rawatan, bilangan orang yang mengalami satu atau lebih kejadian buruk, pening dan mengantuk) adalah kepastian rendah hingga sangat rendah, bermakna kami tidak pasti tentang ketepatan keputusan ini. Kami tidak boleh mengulas tentang penggunaan carisbamate tambahan pada kanak-kanak atau penggunaan jangka panjangnya kerana kajian itu hanya melibatkan orang dewasa dan berjangka pendek.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information