Intervensi pembedahan bagi osteoartritis di lutut yang mempunyai simptom ringan hingga sederhana

Soalan ulasan

Adakah intervensi pembedahan bagi osteoartritis lulut yang ringan dan sederhana tapi simptomatik selamat dan bermanafaat?

Latarbelakang

Berjuta orang di serata dunia mempunyai masalah osteoartritis di lutut . Pembedahan penggantian lutut bagi osteoartritis di lutut peringkat terakhir merupakan kaedah rawatan yang bermanafaat. Pesakit yang mempunyai perubahan degeneratif di lutut yang ringan hingga sederhana boleh mendapat simptom yang menganngu hidup tetapi secara rutinnya tidak ditawarkan pembedahan penggantian lutut kerana manafaat pembedahan bagi mereka kurang jelas. Tidak diketahui adakah pembedahan jenis lain untuk pesakit dalam ini kumpulan ini bermanfaat dan selamat.

Tarikh carian

Ulasan sistematik ini adalah terkini sehingga 24 Mei 2018.

Ciri-ciri kajian

Semua kajian yang dimasukkan adalah kajian rawak yang terkawal yang melibatkan orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) yang mempunyai osteoartritis lutut simptomatik yang ringan hingga sederhana. Satu kajian, termasuk 320 peserta dari Amerika Syarikat membandingkan artroskopik menisektomi separa (APM) dan terapi fizikal (senaman rumah) dengan terapi fizikal (PT) sahaja. Satu kajian, termasuk 32 peserta dari Amerika Syarikat, membandingkan pembedahan artroskopik (membuang tulang yang haus, lapisan sinovial dan meratakan lapisan tulang rawan) dengan pembersihan sendi tertutup dengan larutan bergaram. Dua kajian, melibatkan 152 peserta (120 dari Pakistan, 32 dari UK) membandingkan pembedahan artroskopik (basuh dan buang tulang yang haus) dengan suntikan asid hialuronik. Satu kajian, melibatkan 62 peserta dari Belanda, membandingkan pembedahan osteotomi tibial paras tinggi dengan pembedahan distraksi sendi lutut.

Sumber pembiayaan

Satu kajian telah disokong oleh geran 9040 dari Yayasan Robert Wood Johnson, oleh NIH (NIAMS) dan Tabung Amanah Pembedahan Percy Hospital Lutheran General. Satu kajian telah disokong oleh geran-geran dari Institut Kebangsaan Penyakit Artritis dan Muskuloskeletal dan Kulit Institut Kebangsaan Kesihatan. Satu kajian telah dibiayai oleh ZonMw (Organisasi Belanda bagi Penyelidikan Kesihatan dan Pembangunan). Dua belas kajian tidak melaporkan mana-mana sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Disebabkan oleh kekangan ruang, laporan keputusan terhad kepada perbandingan primer, pembedahan menisektomi separa artroskopik dibandingkan dengan intervensi enam-minggu progresif senaman rumah bagi lutut, pada 12 bulan:

Kesakitan (skor lebih rendah bermakna kurang sakit):

Bertambah baik sebanyak 0.2% dengan pembedahan (4% lebih baik hingga 4% lebih teruk) pada skala 0 hingga 100 mata

- Pesakit yang telah dibedah menilai kesakitan mereka 19.1 mata.

- Pesakit yang telah mendapat terapi fizikal menilai kesakitan mereka 19.3 mata.

Kefungsian (skor lebih rendah bermakna kefungsian bertambah baik) :

Bertambah baik sebanyak 0.8% dengan pembedahan (4% lebih baik hingga 3% lebih teruk)

- Pesakit yang telah dibedah menilai kefungsian mereka 13.7 mata.

- Pesakit yang telah mendapat terapi fizikal menilai kefungsian mereka 14.5.

Kejadian-kejadian yang tidak diingini yang serius:

Bertambah sebanyak 1% dengan pembedahan (2% lebih baik hingga 3% lebih teruk)

- 3 orang daripada 156 mempunyai kejadian yang tidak diingini yang serius dengan pembedahan termasuk darah beku yang membawa maut, serangan jantung dan paras oksigen darah yang rendah.

- 2 orang daripada 164 mempunyai kejadian yang tidak diingini yang serius dengan terapi fizikal termasuk kematian mengejut dan strok.

Penukaran kepada penggantian lutut keseluruhan:

- Lima peserta dalam kumpulan APM (30 setiap 1,000) dan tiga subjek dalam kumpulan PT (17 setiap 1,000) menjalani penggantian lutut keseluruhan.

Penarikan diri

- Satu subjek meninggal dunia dalam setiap kumpulan.

Kualiti bukti

Bukti berkualiti rendah (diturunkan kerana keserongan dalam reka bentuk kajian dan sampel bersaiz kecil) menunjukkan mungkin terdapat manfaat yang sedikit atau tiada manfaat pembedahan berbanding senaman progresif dalam aspek kesakitan dan kefungsian. Pembedahan artroskopik mungkin tidak mempunyai apa-apa manfaat berbanding suntikan pembersihan sendi tertutup dengan larutan bergaram atau suntikan asid hialuronik, dan pembedahan untuk membetulkan semula permukaan tulang yang sihat (osteotomi) mungkin mempunyai sedikit atau tiada manfaat berbanding pembedahan untuk memisahkan permukaan sendi tulang berpenyakit (distraksi sendi lutut) memandangkan terdapat hanya bukti berkualiti rendah dari satu atau dua kajian kecil sahaja.

Disebabkan kadar kejadian yang tidak diingini yang sangat rendah, tidak jelas sama ada pembedahan menunjukkan peningkatan risiko kejadian yang tidak diingini yang serius, insiden penggantian lutut keseluruhan atau kadar penarikan diri.

Keterukan osteoartritis dan kualiti hidup tidak diukur.

Ringkasan

Terdapat bukti berkualiti rendah di mana mungkin terdapat sedikit perbezaan antara menisektomi separa artroskopik dan program senaman rumah untuk rawatan osteoartritis yang ringan hingga sederhana. Pembedahan mungkin tidak lebih baik daripada intervensi lain bagi merawat keadaan ini, sepertimana ditunjukkan oleh bukti yang berkualiti rendah dari kajian-kajian kecil yang sedikit bilangannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information