Organisasi perkhidmatan kesihatan dalam mencegah dan merawat ulser tekanan

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada cara penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berbeza akan mempengaruhi pencegahan serta rawatan ulser tekanan. Penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui empat kajian yang berkaitan.

Mesej-mesej utama

Kami tidak dapat memastikan sama ada penjagaan transmural (cara penyediaan penjagaan yang mengadakan aktiviti-aktiviti untuk menyokong pesakit dan ahli keluarga/pasangan mereka, serta aktiviti-aktiviti yang mempromosikan kesinambungan rawatan), penjagaan hospital-dalam-rumah, penjagaan diberikan oleh pasukan daripada disiplin yang berbeza atau penjagaan yang biasa disediakan, akan menyebabkan perbezaan dalam mengalami ulser tekanan, seberapa cepat ulser sembuh, atau orang yang mengalami ulser akan dimasukkan ataupun dimasukkan semula ke hospital.

Apa yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ulser tekanan, kadang-kadang dikenali sebagai luka baring atau luka tekanan, adalah kecederaan yang disebabkan oleh tekanan berterusan pada bahagian-bahagian tubuh yang bertulang seperti pinggul, tumit atau belakang. Adalah dianggap bahawa cara perkhidmatan kesihatan diatur boleh mempengaruhi perkembangan ulser tekanan pada orang yang berisiko, dan juga dapat mempengaruhi penyembuhan luka ini.

Penjagaan boleh diberikan kepada orang yang mempunyai ulser tekanan dengan pelbagai cara. Kami ingin mengetahui bahawa cara pemberian penjagaan yang berbeza mempengaruhi bilangan orang mengalami ulser tekanan dan seberapa cepat ulser sembuh.

Apakah keputusan utama kajian ini?

Kami menemui empat kajian dari 1999 hingga 2014, yang membandingkan cara alternatif dalam pemberian penjagaan dengan cara penjagaan yang biasanya diberikan. Jumlah purata peserta dalam kajian-kajian ialah 140, dan usia peserta adalah antara 36.5 tahun hingga 83 tahun. Dalam kajian-kajian tersebut 198 peserta adalah lelaki dan 301 wanita. Semua kajian dibiayai oleh agensi kerajaan. Dua kajian memfokuskan pada pencegahan ulser tekanan, satu pada pencegahan dan rawatan, dan satu hanya untuk rawatan.

Ia adalah tidak jelas bahawa sebarang cara alternatif dalam pemberian penjagaan adalah lebih baik daripada pemberian penjagaan yang biasa diberikan dalam mengurangkan risiko ulser tekanan, atau meningkatkan penyembuhan ulser tekanan. Ia juga tidak jelas sama ada cara penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berbeza akan meningkatkan kualiti hidup, kepuasan pesakit dan kakitangan, mengurangkan kemasukan ke hospital, lawatan ke bilik kecemasan, atau kematian pada 28 hari. Ini kerana kami sangat tidak pasti mengenai bukti dalam semua kajian.

Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehingga 18 April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemakan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information