Kesan penambahan tepung gandum dan tepung jagung dengan asid folik ke atas kesihatan penduduk

Latar belakang

Folat adalah vitamin penting yang diperlukan untuk membuat dan membaiki DNA dan juga untuk pembahagian sel. Folat mempunyai dua bentuk utama: folat, bentuk semulajadi yang terdapat di dalam makanan, dan asid folik, bentuk yang digunakan dalam suplemen dan zat tambahan di dalam makanan. Tepung gandum dan tepung jagung merupakan tanaman makanan ruji di serata dunia. Penguatan (iaitu penambahan vitamin dan mineral kepada makanan, bagi menambah nilai nutrisi) tepung gandum atau tepung jagung dengan asid folik telah dilaksanakan oleh lebih daripada 80 negara kepada golongan wanita yang berusia reproduktif. bagi mencegah kecacatan tiub saraf bayi. Bagaimanapun, tidak ada ulasan sistematik sebelum ini yang telah dijalankan untuk menilai kesan tepung yang diperkuatkan dengan asid folik ke atas status folat atau hasil-hasil kesihatan yang lain kepada penduduk.

Soalan ulasan

Kajian ini bertujuan untuk menentukan faedah dan keselamatan penguatan tepung gandum dan tepung jagung dengan asid folik (sendiri atau dengan vitamin lain dan mineral), berbanding dengan tepung gandum atau tepung jagung tanpa asid folik (atau tanpa intervensi), ke atas status folat dan hasil kesihatan yang lain dalam kalangan masyarakat umum.

Ciri-ciri Kajian

Kami membuat carian penerbitan pada bulan Mac dan Mei 2018. Kami memasukkan 10 kajian; empat kajian membekalkan data bagi analisis meta. Enam kajian telah dijalankan di negara-negara berpendapatan pertengahan- atas (Cina, Mexico, Afrika Selatan), satu kajian telah dijalankan di negara berpendapatan pertengahan-rendah (Bangladesh), dan tiga kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi (Kanada). Tujuh kajian mengkaji kesan tepung gandum yang diperkuatkan dengan asid folik sahaja (3 kajian) atau dengan mikronutrisi yang lain (4 kajian). Tiga kajian menilai kesan penguatan tepung jagung dengan asid folik sahaja (1 kajian) atau dengan mikronutrisi yang lain (dua kajian).

Keputusan utama dan kepastian bukti

Penguatan tepung gandum dengan asid folik mungkin mengurangkan kebarangkalian kecacatan tiub saraf (iaitu jumlah kecacatan tiub saraf dan dua jenis kecacatan tiub saraf yang spesifik, spina bifida dan ensefalosele (sejenis kecacatan tiub saraf yang menjejaskan otak dan membran yang menutupnya melalui bukaan di tengkorak). Penguatan tepung gandum atau tepung jagung dengan asid folik (iaitu tersendiri atau dengan vitamin dan mineral yang lain) mungkin meningkatkan status folat dalam badan. Terdapat bukti yang terhad mengenai kesan penguatan tepung gandum dengan asid folik ke atas tahap hemoglobin atau anemia. Kesan penguatan tepung gandum atau tepung jagung dengan asid folik ke atas hasil utama lain yang dinilai dalam ulasan ini tidak diketahui. Tidak ada kajian yang melaporkan kejadian kesan-kesan sampingan. Pembatasan kajian ini adalah bilangan kajian dan peserta yang kecil, dan bukti yang berkepastian rendah yang disebabkan oleh kaedah rekabentuk dan laporan kajian-kajian yang terlibat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information