Soalan ulasan
Adakah gel dekstrosa oral berkesan dan selamat dalam mencegah paras glukosa darah rendah dan mengurangkan ketakupayaan jangka panjang dalam kalangan bayi baru lahir yang berisiko paras glukosa darah rendah?
Mesej utama
- Bukti semasa adalah berdasarkan dua kajian melibatkan 2548 bayi berisiko di negara berpendapatan tinggi dengan penilaian hasil dalam kalangan bayi baru lahir, pada usia dua tahun dan enam hingga tujuh tahun.
- Gel dekstrosa oral selamat dan berkesan bagi mengurangkan paras glukosa darah rendah dalam kalangan bayi baru lahir yang berisiko paras glukosa darah rendah.
- Adalah tidak pasti sama ada gel dextrosa oral meningkat atau mengurangkan ketakupayaan pada usia dua tahun atau lebih.
Mengapa paras glukosa darah rendah penting?
Paras gula (glukosa) darah rendah adalah penting kerana ia lazim dan dikaitkan dengan kecederaan otak dalam kalangan bayi baru lahir. Seramai 39 daripada setiap 100 bayi akan mempunyai paras glukosa darah yang rendah dalam beberapa hari pertama selepas lahir dan sebanyak separuh daripada bayi yang berisiko lebih tinggi (mereka yang dilahirkan pramasa atau lebih kecil atau lebih besar dari biasa, atau ibu mereka menghidap diabetes).
Paras glukosa darah rendah boleh menyebabkan masalah pencapaian akademik dan perkembangan semasa zaman kanak-kanak. Terdapat bukti yang mencadangkan hanya satu episod glukosa darah rendah atau episod yang tidak dikesan boleh menyumbang kepada masalah ini. Oleh itu, adalah berguna untuk mencegah kejadian paras glukosa rendah. Tambahan juga, rawatan untuk paras glukosa rendah sering melibatkan susu formula atau kemasukan ke unit neonatal yang membawa kepada pengasingan ibu dan bayi. Rawatan dan pengasingan boleh menjejaskan penyusuan susu ibu.
Bagaimana gel dextrosa boleh mencegah paras glukosa darah rendah?
Gel dextrosa (gula) oral boleh disapu pada bahagian dalam mulut bayi di mana gula boleh diserap dan dengan itu berpotensi membantu mencegah paras glukosa rendah.
Apak yang kami ingin tahu?
Kami ingin memahami sama ada bayi yang diberi gel dextrosa oral selepas lahir kurang cenderung untuk:
- mempunyai paras gula darah rendah
- mengalami ketakupayaan besar pada usia dua tahun atau lebih
Kami juga ingin tahu sama ada gel dextrosa oral punyai sebarang kesan yang tidak diingini seperti muntah atau tercekik.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat sama ada gel dekstrosa oral, berbanding dengan rawatan lain atau tiada rawatan, adalah selamat dan berkesan dalam mencegah paras gula darah rendah dan hilang upaya utama pada masa kanak-kanak. Kami juga melihat hasil tambahan yang penting secara klinikal.
Apa yang kami dapati?
Kami menemui dua kajian, kedua-duanya di negara berpendapatan tinggi, melibatkan 2548 bayi berisiko. Kedua-dua kajian menilai hasil kesihatan kanak-kanak yang menyertai kajian pada usia dua tahun, dan satu kajian lagi menilai mereka pada usia enam hingga tujuh tahun. Dengan mengulas kajian-kajian ini, kami yakin gel dekstrosa oral pencegahan mengurangkan risiko paras glukosa darah rendah dalam kalangan bayi baru lahir yang berisiko. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada gel dekstrosa oral mengubah risiko ketakuapayaan utama pada dua tahun atau lebih, kerana satu kajian dalam kalangan 360 kanak-kanak menunjukkan ketakupayaan mungkin berkurangan, manakala kajian lain dalam kalangan 2149 kanak-kanak menunjukkan ia mungkin meningkat.
Bukti daripada dua kajian menunjukkan bayi yang diberi gel dekstrosa oral tidak berisiko lebih tinggi untuk kejadian buruk (mudarat) seperti tercekik atau muntah berbanding bayi yang diberi gel plasebo, tetapi tiada maklumat untuk menilai sama ada gel dekstrosa oral lebih selamat berbanding tiada rawatan atau terapi lain. Gel dekstrosa oral juga mungkin mengurangkan keperluan untuk rawatan tahap gula darah rendah. Ia mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas pengasingan daripada ibu untuk rawatan hipoglisemia, tetapi kami sedikit yakin terhadap penemuan ini kerana variasi antara kedua-dua kajian. Tiada data tersedia tentang penyusuan susu ibu secara eksklusif selepas discaj.
Apakah batasan bukti?
Kedua-dua kajian itu dijalankan di negara berpendapatan tinggi sahaja, dan penemuan itu mungkin tidak boleh diaplikasi untuk persekitaran lain. Penemuan tersebut juga tidak boleh diaplikasi untuk bayi pramasa atau sediaan gel dekstrosa lain. Kami tidak yakin dengan bukti secara amnya kerana terdapat hanya dua kajian yang tidak membenarkan kepastian tentang keputusan-keputusannya. Juga, mungkin terdapat terlalu sedikit kejadian (contohnya kesan buruk) untuk membuat kesimpulan yang pasti.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan ini mengemaskini ulasan terdahulu yang diterbitkan pada 2021. Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2023.
Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my