Terapi enam bulan untuk orang yang mengalami tuberkulosis abdomen

Apakah tuberkulosis abdomen dan mengapa tempoh rawatan sangat penting?

Tuberkulosis (TB) abdomen ialah sejenis TB yang mempengaruhi usus, peritoneum (lapisan rongga perut), nodus limfa abdomen, dan, lebih jarang, organ pepejal dalam abdomen (hati, pankreas, dan limpa). TB abdomen membawa kepada penyakit yang teruk pada orang dewasa dan kanak-kanak, dan boleh menyebabkan komplikasi, seperti kepecahan usus, yang boleh mengakibatkan maut.

Kebanyakan garis panduan semasa mengesyorkan untuk merawat orang yang mempunyai TB abdomen dengan rawatan antituberkulosis (ATT) selama enam bulan, tetapi sesetengah doktor merawat untuk tempoh yang lebih lama atas kebimbangan bahawa enam bulan tidak mencukupi untuk mencapai penyembuhan dan mencegah penyakit berulang selepas tamat rawatan. Rejimen ATT yang lebih lama mempunyai kelemahan: pesakit mungkin mendapati lebih sukar untuk mematuhi kepada ubat tablet; pesakit terdedah kepada risiko kesan-kesan sampingan ATT untuk tempoh lebih lama; dan kos kepada sistem kesihatan serta pesakit adalah lebih besar.

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti

Para penyelidik Cochrane menilai bukti sedia ada sehingga 2 September 2016. Kami menyertakan tiga kajian dengan 328 peserta yang membandingkan ATT dalam masa enam bulan dengan sembilan bulan; dua dari India dan seorang dari Korea Selatan. Kajian kebanyakannya berkualiti tinggi, walaupun dua kajian mempunyai kebimbangan risiko ketidaktelusan semasa mengesan keberulangan penyakit. Semua kajian termasuk orang dewasa HIV-negatif dengan TB usus (TB gastrousus), dan satu lagi menyertakan TB peritoneum (TB peritoneal).

Keputusan menunjukkan bahawa penyakit berulang adalah peristiwa yang jarang berlaku, tetapi kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan enam bulan dan sembilan bulan kerana bilangan peserta adalah kecil (bukti kualiti yang sangat rendah). Rejimen enam bulan dan sembilan bulan mungkin memberikan kesan yang sama dari segi peluang untuk mencapai penyembuhan (bukti kualiti sederhana). Kematian adalah luar biasa dalam kedua-dua kumpulan, dan semua kematian berlaku dalam empat bulan pertama ATT, yang menunjukkan bahawa tempoh rawatan tidak mempunyai kesan ke atas risiko kematian. Beberapa orang mempunyai pematuhan rawatan yang lemah, dan beberapa peserta mengalami kesan sampingan yang menyebabkan rawatan mereka dihentikan atau diubah, dan ia adalah tidak mungkin untuk mengesan perbezaan antara kumpulan.

Rejimen enam bulan mungkin mempunyai kesan yang sama seperti rejimen sembilan bulan dari segi bilangan orang yang sembuh. Kami tidak menemui bukti untuk mencadangkan bahawa rejimen enam bulan kurang selamat untuk TB gastrousus dan peritoneal berbanding dengan rejimen sembilan bulan, tetapi kami masih tidak tahu sama ada terdapat perbezaan risiko penyakit berulang antara kedua-dua rejimen. Kajian lanjut diperlukan untuk meningkatkan keyakinan kami sama ada rejimen enam bulan adalah sebaik rejimen sembilan bulan untuk mencegah penyakit berulangan; dan untuk memberikan maklumat tentang merawat TB abdomen pada kanak-kanak dan orang yang mempunyai HIV.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information