Soalan ulasan
Adakah rangsangan saraf elektrik transcutaneous (TENS) melegakan kesakitan pada orang dewasa dengan fibromyalgia?
Latar belakang
Fibromyalgia adalah keadaan perubatan jangka panjang yang mempunyai kesakitan yang meluas di sepanjang tubuh badan. TENS adalah rawatan yang melibatkan denyutan arus elektrik yang diletakkan di permukaan kulit menggunakan dua atau empat elektrod. Ia digunakan untuk merawat keadaan yang menyakitkan. TENS adalah murah, boleh dirawat sendiri oleh orang dengan fibromyalgia, dan tidak dikaitkan dengan sebarang kesan sampingan tertentu. TENS mengurangkan kesakitan semasa pergerakan supaya ia mungkin berguna sebagai tambahan kepada rawatan lain untuk membantu orang menjalani kehidupan biasa.
Ciri-ciri kajian
Pada bulan Januari 2017, penyelidik mendapati lapan kajian klinikal yang menilai 315 orang. Penyelidik termasuk TENS yang ditadbir untuk menghasilkan sensasi 'kesemutan' yang tidak menyakitkan di tempat sakit sama ada sebagai rawatan sahaja atau digabungkan dengan rawatan senaman. Semua kajian menggunakan TENS berbanding dengan 'palsu' (dipanggil plasebo atau sham) TENS, tanpa rawatan, atau rawatan lain seperti ubat atau hidroterapi (rawatan di dalam air).
Keputusan utama
Penyelidik tidak menemui banyak kajian yang berkualiti tinggi untuk membolehkan penyelidik membuat sebarang kesimpulan tentang keberkesanan TENS untuk kesakitan fibromyalgia. Walaupun tujuh kajian menyimpulkan bahawa TENS melegakan kesakitan yang berkaitan dengan fibromyalgia, kajiannya adalah berkualiti rendah dan penemuan untuk mengukur kesakitan dilaporkan secara tidak konsisten. Kajian tidak mengukur kebanyakan hasil penyelidik dan tidak selalu jelas apa aspek kesakitan dilaporkan (contohnya kesakitan sekarang, kesakitan teringat, keterukan kesakitan, dan sebagainya). Hanya satu kajian perintis yang kecil mendapati bahawa satu rawatan TENS selama 30 minit mengurangkan kesakitan pada pergerakan semasa dan selepas rawatan; Tetapi, terdapat terlalu sedikit peserta yang diperhatikan dan tidak diketahui sama ada kesan ini akan dikekalkan dalam tempoh rawatan TENS yang lebih lama. Secara keseluruhan, tidak mungkin untuk menilai sama ada TENS mengurangkan kesakitan yang berkaitan dengan fibromyalgia. Tiada kesan sampingan yang dilaporkan dalam mana-mana kajian.
Kualiti bukti
Penyelidik menilai kualiti bukti dari kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna penyelidik sangat tidak pasti tentang keputusannya. Bukti yang berkualiti tinggi bermakna bahawa penyelidik sangat yakin dengan keputusannya. Kualiti bukti adalah sangat rendah secara keseluruhan kerana kekurangan data.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.