Menghentikan terapi antibiotik awal berbanding meneruskan sehingga jumlah neutrofil menjadi normal dalam kalangan orang dengan kanser dengan demam dan jumlah neutrofil rendah

Soalan ulasan
Orang dengan kanser yang dirawat dengan kemoterapi mungkin mempunyai bilangan sel darah putih yang rendah, suatu keadaan yang dikenali sebagai neutropenia. Sel darah putih adalah penting untuk mempertahankan sistem imun terhadap jangkitan. Dalam kalangan orang dengan neutropenia yang mengalami demam, tidak diketahui sama ada ia selamat untuk berhenti memberi antibiotik sebelum kiraan sel darah putih kembali normal atau sama ada lebih baik untuk meneruskan antibiotik sehingga kiraan sel darah putih pulih (biasanya kepada jumlah yang lebih tinggi daripada 500 sel per mikroliter).

Latar belakang
Neutrofil adalah sejenis sel darah putih yang penting untuk mempertahankan sistem imun terhadap banyak jangkitan patogen termasuk bakteria. Orang dengan kanser yang menerima kemoterapi mengalami kurang penghasilan neutrofil, yang bermaksud mereka terdedah kepada jangkitan teruk yang mengancam nyawa. Apabila pesakit kanser dengan neutropenia mengalami demam, adalah penting untuk memulakan rawatan antibakteria julat luas secepat mungkin untuk mengurangkan risiko kematian dan komplikasi serius. Sehingga kini, tempoh antibiotik yang terbaik untuk diberikan adalh tidak jelas. Pemberian antibiotik melebihi tempoh yang diperlukan mungkin mengakibatkan kesan sampingan dan bakteria resistan.

Tarikh carian
Buktinya adalah terkini sehingga 1 Oktober 2018.

Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan lapan kajian yang melibatkan orang dengan neutropenia dan demam dan membandingkan terapi antibiotik tempoh pendek dengan terapi antibiotik tempoh panjang sehingga neutrofil stabil. Sejumlah 662 episod demam dalam kalangan orang dengan neutropenia diletakkan secara rawak kepada kumpulan rawatan (314 untuk rawatan antibiotik yang pendek dan 348 untuk rawatan antibiotik yang panjang). Kesemua kajian tidak memasukkan orang dengan pertumbuhan bakteria dalam kultur sebelum masa perawakan. Semua kajian kecuali dua mengecualikan orang dengan jangkitan pada organ tertentu.

Dana pembiayaan kajian
Tiga kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan; tiga dibiayai oleh penaja akademik; satu kajian mempunyai penajaan akademik, tetapi antibiotik dan plasebo disediakan oleh syarikat-syarikat farmaseutikal; dan satu kajian ditaja oleh pembiayaan kerajaan.

Keputusan-keputusan utama
Tiada perbezaan dalam kematian antara tempoh terapi antibiotik yang pendek dan panjang. Tiada perbezaan dalam bilangan orang dengan jangkitan teruk yang menunjukkan bakteria dalam darah. Terdapat lebih banyak kes jangkitan dengan kultur positif dalam kalangan orang yang dirawat dengan tempoh antibiotik pendek berbanding dengan tempoh antibiotik panjang, tetapi tiada perbezaan kadar hasil yang tidak baik seperti demam berulang, keperluan kemasukan hospital, dan mengubah atau memulakan semula antibiotik. Kami mendapati tiada perbezaan dalam kadar jangkitan kulat dan perkembangan rintangan antibiotik, dengan hanya sedikit kajian yang melaporkan hasil rintangan antibiotik. Bilangan hari demam adalah lebih rendah bagi orang yang dirawat dengan tempoh antibiotik pendek berbanding yang dirawat dengan tempoh antibiotik panjang. Di dalam semua kajian bilangan hari rawatan antibiotik kurang dalam lengan terapi antibiotik pendek iaitu tiga hingga tujuh hari berbanding lengan terapi antibiotik tempoh panjang. Data mengenai tempoh tinggal di hospital adalah tidak cukup untuk membolehkan kesimpulan yang bermakna.

Kepastian bukti
Kepastian keseluruhan bukti adalah rendah atau sangat rendah, membolehkan keyakinan yang sedikit terhadap keputusan yang dikemukakan. Kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah kajian lama dan tidak direka bentuk dengan sempurna. Terdapat banyak perbezaan di antara kajian-kajian dari segi reka bentuk dan kriteria kemasukan. Kami menilai kepastian bukti untuk hasil utama kematian akibat semua punca sebagai rendah dan sangat rendah untuk kegagalan hasil klinikal dan bakteremia yang berlaku selepas perawakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information