Apakah risiko terapi-terapi bagi merawati sklerosis pelbagai?

Mesej utama

- Imunoterapi yang digunakan untuk merawat sklerosis pelbagai kelihatan tidak meningkatkan peristiwa-peristiwa kesihatan yang serius, berbanding ubat palsu (plasebo).

- Banyak ubat-ubat ini mempunyai kesan yang tidak diingini dan, bagi sesetengah mereka, lebih ramai orang yang menyertai kajian-kajian tersebut keluar dari kajian kerana kesan-kesan sampingannya berbanding ubat palsu.

- Keputusan ini hanya sebahagiannya, atau tidak, boleh dipercayai memandangkan kejadian kesihatan yang serius agak jarang berlaku pada orang yang mengalami pelbagai sklerosis, bermakna isu itu sukar untuk dikaji dan kejadian kesihatan yang serius juga tidak dilaporkan dengan baik dalam kajian.

Apakah keadaannya?

Sklerosis pelbagai (MS) menjejaskan otak dan saraf tunjang. MS menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki. Di dalam MS, sistem imun menyerang salutan yang menutupi saraf badan serta melemahkan fungsinya. Sesetengah orang dengan MS yang teruk mungkin tidak dapat menggunakan tangan atau kaki mereka dengan baik untuk beberapa waktu, tetapi mereka biasanya pulih. Kecacatan, contohnya berjalan, boleh tertimbul pada sesetengah orang yang mengalami bertahun-tahun serangan yang banyak.

Bagaimanakah penyakit ini dapat dirawat?

Beberapa rawatan yang memodulasi sistem imun tersedia ada yang boleh membantu mempercepatkan pemulihannya serta bertambah baik perjalanan pemulihan penyakit tersebut.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami berhasrat untuk menyiasat risiko ubat yang digunakan untuk merawat MS. Kami ingin menilai semua jenis kejadian kesihatan yang serius, contohnya, kemasukan ke hospital atau peristiwa yang menyebabkan orang berhenti mengambil ubat. Kami juga ingin menyiasat peristiwa kesihatan dalam organ badan tertentu.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat ubat-ubatan yang bertujuan untuk memperbaiki perjalanan pemulihan MS, berbanding dengan ubat lain atau ubat palsu, pada orang yang mengalami episod penyakit yang berulang.

Apa yang telah kami temui?

Peristiwa kesihatan yang serius ditemui pada kira-kira satu daripada sembilan orang yang menerima ubat palsu selama satu atau dua tahun. Ubat-ubat berikutnya didapati tidak meningkatkan peristiwa-peristiwa tersebut: interferon beta-1a (Avonex), dimetil fumarat, glatiramer asetat, teriflunomide, ocrelizumab, ozanimod, interferon beta-1b, interferon beta-1a (Rebif), natalizumab, fingolimod, dan laquinimod . Kami tidak dapat mengetahui sama ada ubat-ubat berikut menyebabkan peristiwa-peristiwa-peristiwa kesihatan yang lebih serius daripada ubat-ubat palsu, kerana kajiannya adalah kecil atau terdapat beberapa peristiwa sahaja (untuk cladribine, siponimod, ofatumumab, dan rituximab). Kami sangat tidak pasti tentang daclizumab, immunoglobulin, diroximel fumarate, peg-interferon beta-1a, alemtuzumab, interferon dan azathioprine kerana kualiti bukti mengenai peristiwa-peristiwa kesihatan yang serius adalah sangat buruk.

Kesan yang tidak diingini yang menyebabkan orang ramai berhenti mengambil ubat ditemui di dalam satu daripada 16 orang yang menerima ubat palsu selama satu atau dua tahun. Ubat-ubat berikutnya mungkin telah meningkatkan keciciran peserta: teriflunomide, glatiramer acetate, fingolimod, interferon beta-1a (Rebif), daclizumab dan interferon beta-1b. Kami tidak dapat mengetahui sama ada ofatumumab menyebabkan lebih banyak keciciran peserta daripada ubat-ubat palsu kerana kajiannya adalah kecil atau terdapat sedikit peristiwa kesihatan yang dialami. Kami sangat tidak pasti tentang diroximel fumarate, alemtuzumab, methotrexate, kortikosteroid, ozanimod, natalizumab, ocrelizumab, dimetil fumarat, siponimod, rituximab, cladribine, mitoxantrone, interferon, cyclophosphamide, laquinimod, interferon beta-1a (Avonex), immunoglobulins, peg-interferon beta-1a dan azathioprine kerana kualiti bukti mengenai keciciran peserta adalah sangat buruk.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan bukti datang daripada kajian yang dijalankan dengan cara yang mungkin telah memperkenalkan kesilapan ke dalam keputusan mereka, termasuk fakta bahawa kemudaratan terhadap kesihatan tidak dilaporkan dengan baik. Selain itu, peristiwa-peristiwa kesihatan yang serius dan kesan yang tidak diingini jarang berlaku pada orang yang mempunyai MS dan, oleh sebab itu, ia sukar untuk dikaji.

Sejauh manakah bukti terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kelly Sze Fang Num. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information