Mengapa ulasan ini penting?
Kelakuan mencederakan diri sendiri (SH) yang tidak membawa maut, termasuk meracunkan diri sendiri /ubat berlebihan dan mencederakan diri sendiri, merupakan masalah utama di banyak negara dan ada kaitan dengan risiko membunuh diri pada masa depan. Ia adalah menyedihkan bagi pesakit, ahli keluarga dan rakan-rakan malah meletakkan beban yang tinggi ke atas perkhidmatan klinikal. Oleh yang demikian, adalah penting untuk menilai bukti berkenaan rawatan-rawatan bagi pesakit SH
Siapakah yang akan berminat mengenai ulasan ini?
Para doktor yang bekerja dengan orang yang terlibat dalam SH, pembuat dasar, mereka yang sendiri telah melibat dalam SH atau mungkin berisiko untuk berbuat demikian, dan keluarga mereka serta saudara-mara.
Apakah soalan yang ulasan ini berhasrat untuk menjawab?
Kajian ini adalah satu pengemaskinian daripada ulasan Cochrane sebelumnya dari tahun 1999, yang mendapati sedikit bukti kesan-kesan berfaedah dari rawatan psikososial keatas kes pengulangan SH. Pengemaskinian ini bertujuan untuk menilai dengan lebih lanjut bukti keberkesanan rawatan psikososial keatas pesakit SH dengan hasil keputusan yang lebih meluas.
Kajian mana yang telah dimasukkan dalam ulasan?
Bagi diambil kira dalam ulasan ini, kajian-kajian mestilah rawak terkawal dengan intervensi psikososial untuk orang dewasa yang baru-baru ini terlibat dalam SH. Kami telah mencari pangkalan data elektronik untuk mencari semua kajian yang diterbitkan sehingga sehingga 29 April 2015, dan mendapati 55 yang memenuhi kriteria kemasukan.
Apakah bukti daripada ulasan itu memberitahu kepada kita?
Kini terdapat beberapa siasatan rawatan psikososial untuk SH dalam kalangan orang dewasa, dengan penglibatan yang lebih besar pada tahun-tahun kebelakangan ini dari negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana seperti China, Iran, Pakistan dan Sri Lanka.
Beberapa bukti berkualiti sederhana menunjukkan bahawa psikoterapi kognitif-kelakuan (berasaskan CBT)(psikoterapi bertujuan untuk mengubah pemikiran yang tidak membantu, emosi dan tingkah laku) boleh membantu mencegah pengulangan SH, walaupun ia tidak mengurangkan kekerapan keseluruhan SH. Terdapat keputusan yang menggalakkan (dari kajian kecil yang berkualiti sederhana kepada yang sangat rendah) bagi intervensi yang lain yang bertujuan untuk mengurangkan kekerapan SH pada orang kemungkinan mengalami gangguan personaliti , termasuk psikoterapi berasaskan kumpulan-emosi-peraturan, mentalisasi (terapi psikososial bertujuan untuk meningkatkan memaham diri sendiri dan keadaan mental orang lain), dan terapi tingkah laku dialektik (DBT; terapi psikososial bertujuan untuk membantu untuk mengenal pasti pencetus yang membawa kepada tingkah laku reaktif dan untuk menyediakan individu dengan kemahiran menangani ketegangan emosi untuk mengelakkan tindak balas ini). Walaupun DBT tidak dikaitkan dengan pengurangan ketara dalam pengulangan SH pada akhir susulan berbanding dengan rawatan biasa, terdapat bukti berkualiti rendah mencadangkan pengurangan dalam kekerapan SH.
Tidak terdapat bukti yang jelas bagi menyokong keberkesanan pendedahan berpanjangan kepada DBT, pengurusan kes, pendekatan untuk meningkatkan pematuhan rawatan, intervensi pelbagai modal (yang terdiri daripada kedua-dua terapi psikologi dan intervensi berasaskan kenalan jauh), intervensi kenalan jauh (poskad, kad kecemasan, dan telefon kenalan), latihan kemahiran interpersonal untuk menyelesaikan masalah, terapi tingkah laku, penyediaan maklumat dan sokongan, rawatan untuk penyalahgunaan alkohol, terapi menyelesaikan masalah di rumah , rawatan intensif pesakit dalam komuniti, kemasukan hospital umum, rawatan intensif pesakit luar, atau psikoterapi jangka panjang.
Kami mempunyai bukti yang terhad dari subset kajian-kajian yang berkaitan dengan sama ada intervensi itu mempunyai kesan yang berbeza terhadap lelaki dan wanita. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kesan sampingan yang lain selain tingkah laku membunuh diri.
Apa yang sepatutnya berlaku seterusnya?
Hasil keputusan yang memberangsangkan untuk terapi psikologi berasaskan CBT dan terapi dialektik tingkah laku memerlukan siasatan lanjut untuk memahami pesakit-pesakit mana yang akan mendapat manfaat daripada jenis intervensi-intervensi ini. Hanya terdapat sedikit,umumnya kajian kecil daripada kebanyakan terapi psikososial jenis lain, yang memberikan sedikit bukti kesan yang baik; walau bagaimanapun, ini tidak boleh dikesampingkan. Maklumat lanjut mengenai sama ada intervensi psikososial berkemungkinan berbeza fungsi antara lelaki dan wanita adalah diperlukan.
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my