Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada rangsangan elektrik (ES; arus elektrik yang diaplikasi pada kulit) boleh membantu menyembuhkan ulser tekanan. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan (kajian rawak terkawal) untuk menjawab soalan ini dan mendapati 20 kajian yang relevan.
Mesej utama
ES berbanding tiada ES mungkin meningkatkan perkadaran ulser tekanan sembuh dan kadar penyembuhan ulser tekanan (bukti kepastian sederhana) tetapi kesan masa untuk melengkapkan penyembuhan dan kawasan permukaan ulser tekanan adalah tidak pasti (bukti kepastian sangat rendah ). Kesan sampingan yang paling lazim dilaporkan adalah kemerahan kulit dan ketidakselesaan. Terdapat keperluan untuk penyelidikan berkualiti lebih baik untuk menentukan sama ada ES adalah selamat dan berkesan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Ulser tekanan (juga dikenali sebagai kudis tekanan, kudis katil atau kecederaan tekanan) adalah kecederaan kulit dan/atau tisu di bawahnya yang disebabkan oleh tekanan berterusan ke atas bahagian badan bertulang seperti pinggul, tumit atau bahagian belakang. Orang yang berkurangan mobiliti akibat umur, kecacatan atau penyakit berisiko untuk memdapat ulser tekanan.
ES diberi melalui arus elektrik yang boleh diaplikasi pada kulit dengan pelbagai cara. ES memerlukan perletakan sekurang-kurangnya dua elektrod kecil pada kulit yang disambungkan kepada peranti yang berkuasa bateri kecil yang mengawal keamatan arus elektrik. ES boleh diberi sama ada secara terus atau berkala. Ia menyebabkan sensasi kesemutan atau bergetar dalam kebanyakan orang kecuali mereka yang tidak dapat merasa kerana keadaan seperti kecederaan saraf tunjang. Kami mengulas bukti sama ada ES mempengaruhi bilangan ulser tekanan yang sembuh, saiz dan keterukan ulser tekanan, masa untuk melengkapkan penyembuhan, dan kualiti hidup. Kami juga ingin mengetahui tentang sebarang kesan sampingan yang berkaitan dengan ES.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kajian ini mermasukkan keputusan 20 kajian rawak terkawal dari 1985 hingga 2018 dan melibatkan 913 peserta. Purata umur peserta adalah dari 26 hingga 83 tahun; 50% adalah lelaki. Peserta mempunyai ulser tekanan untuk sekurang-kurangnya empat hari dan beberapa kes melebihi 12 bulan. Majoriti ulser tekanan (60%) adalah serius pada atau bersebelahan punggung (62%). Kajian-kajian dijalankan di dalam empat persekitaran yang berbeza, termasuk hospital rehabilitasi dan geriatrik, pusat perubatan, pusat penjagaan di rumah, dan pusat berasaskan komuniti. ES diberi untuk purata lima jam setiap minggu. Kajian membandingkan ES bersama penjagaan biasa (seperti balutan luka, melegakan tekanan, mengubah posisidengan regular, nasihat dan penambahan nutrisi) dengan tiada ES (tetapi dengan penjagaan biasa). Lapan kajian daripada 20 telah dibiaya oleh pengilang peranti yang berkepentingan dalam keputusan-keputusan kajian.
Sebelas kajian yang membandingkan ES dengan tiada ES menunjukkan ES mungkin memperbaiki perkadaran ulser tekanan sembuh (bukti kepastian sederhana berdasarkan 501 peserta (512 ulser tekanan)). Adalah tidak pasti sama ada ES mengurangkan keterukan ulser tekanan pada ukuran komposit (berdasarkan 1 kajian dengan 15 peserta (15 ulser tekanan)). Kesan ES terhadap ulser tekanan tidak dapat dianggar kerana kajian yang berlainan menunjukkan keputusan yang sangat berbeza. Adalah tidak pasti sama ada ES mengurangkan kawasan permukaan ulser tekanan (bukti kepastian sangat rendah berdasarkan 494 peserta (505 ulser tekanan)). Kami tidak pasti sama ada ES mempunyai kesan ke atas masa untuk melengkapkan penyembuhan (bukti kepastian sangat rendah berdasarkan 55 peserta (55 ulser tekanan)). Komplikasi lazim berkaitan ES adalah kemerahan kulit dan ketidakselesaan (bukti kepastian rendah berdasarkan 586 peserta (602 ulser tekanan)). Dua belas kajian juga menunjukkan ES mungkin meningkatkan kadar penyembuhan ulser tekanan (bukti kepastian sederhana berdasarkan 561 peserta (613 ulser tekanan)). Tiada kajian melaporkan keputusan kualiti hidup atau kemurungan.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Julai 2019.
Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi lcochrane@rcsiucd.edu.my