Rawatan ubat-ubatan untuk apati dalam penyakit Alzheimer

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada terdapat sebarang ubat-ubatan yang selamat dan berkesan untuk mengurangkan apati dalam kalangan pesakit Alzheimer.

Latar belakang

Apati adalah suatu keadaan di mana berkurangnya minat, inisiatif dan aktiviti. Ia adalah gejala lazim dalam penyakit Alzheimer. Ia sering berterusan dan dikaitkan dengan kualiti hidup yang lebih rendah, merosot dengan lebih cepat dan lebih membebankan penjaga. Rawatan apati yang berkesan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit Alzheimer dan keluarga mereka.

Apa yang kami lakukan

Kami mencari kajian rawak terkawal (RCT) sehingga Mei 2017 yang membandingkan sebarang ubat dengan plasebo (pil tiruan) dan menilai kesan ke atas apati pesakit dengan Alzheimer. Kita hanya berminat dalam kajian-kajian di mana ia diputuskan secara rawak sama ada pesertanya mendapat ubat berkenaan atau plasebo; ini adalah untuk memastikan perbandingan yang seadil mungkin.

Apa yang kami dapati

Kami mendapati 21 RCT yang melibatkan lebih 6300 orang dengan Alzheimer. Empat kajian yang menggunakan dua ubat yang berbeza (methylphenidate dan modafinil) telah dilakukan khususnya untuk mengkaji apati, oleh tiu semua pesertanya telah diketahui mengalami apati sebelum kajian dimulakan. 17 kajian yang lain mempunyai matlamat utama lain, tetapi melaporkan data mengenai apati. Kajian-kajian tersebut secara keseluruhannya direka bentuk dan dijalankan dengan baik. Daripada tiga kajian yang menggunakan methylphenidate, kami mendapati ia boleh memperbaiki apati, walaupun ini bergantung kepada bagaimana apati diukur. Orang yang mengambil methylphenidate juga sedikit lebih baik daripada mereka yang mengambil plasebo dalam skala ukuran kognisi (berfikir, mengingat, dll) dan beberapa aktiviti harian, tetapi adalah tidak jelas jika kesan-kesan tersebut cukup besar untuk menjadi penting dalam amalan perubatan. Kami mendapati tiada bukti bahawa ia menyebabkan lebih banyak kesan sampingan daripada plasebo. Kualiti bukti ini adalah rendah atau sederhana, jadi kami tidak dapat mempastikan kajian-kajian lain yang serupa tidak menunjukkan keputusan yang berbeza. Terdapat hanya satu kajian yang sangat kecil dengan modafinil dan tidak terdapat bukti ia berkesan untuk apati. 17 kajian yang lain mengkaji pelbagai ubat-ubatan dan menyertakan pesakit yang tidak semestinya ketara bersikap apati. Oleh itu kami fikir kajian-kajian tersebut hanya relevan secara tidak langsung dengan soalan ulasan kami. Kemungkinan besar juga kajian-kajian lain menggunakan ubat yang sama juga mengukur apati tetapi belum menerbitkan keputusan, jadi kami bimbang tentang kemungkinan bias penerbitan (bahawa kajian yang kami dapati mungkin terdiri daripada subset yang bias). Oleh itu, kita menilai kualiti bukti untuk semua ubat-ubatan lain adalah rendah atau sangat rendah, bermakna kami mempunyai keyakinan yang terhad atau sedikit terhadap keputusannya.

Kesimpulan

Bukti semasa mencadangkan methylphenidate mungkin membantu untuk merawat apati dalam penyakit Alzheimer. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan khususnya mensasarkan apati bagi memperbaiki keseluruhan kualiti bukti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zcho Huey Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information