Apakah matlamat ulasan ini?
Ulasan ini meringkaskan kajian rawak terkawal (RCT) (kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dan kajian bukan rawak (bukan RCT) yang menilai kesan intervensi air, sanitasi, dan kebersihan dalam mencegah jangkitan helminth yang tersebar melalui tanah.
Jangkitan helminth yang tersebar melalui tanah (STHs) terdiri daripada sekumpulan parasit usus yang tersebar kepada manusia melalui pengambilan telur yang dijangkiti atau penembusan larva secara transcutaneous (melalui kulit) yang dikumuhkan dalam najis manusia yang mencemarkan sumber tanah dan air. Walaupun dengan usaha penyahcacingan, jangkitan semula berlaku dengan cepat, dan gangguan penyebaran adalah tidak mungkin tanpa usaha kawalan pelengkap. Penambahbaikan alam sekitar, seperti akses kepada dan penggunaan air yang selamat dan mencukupi, sanitasi asas, dan kebersihan (WASH), dianggap penting untuk mengekalkan pengurangan jangkitan semula dan mengurangkan penyakit.
Mesej utama
Bukti mencadangkan bahawa intervensi WASH yang dikaji mungkin mengurangkan sedikit jangkitan STH. Kebanyakan keputusan ini adalah dalam kajian yang digabungkan dengan pemberian ubat yang banyak dalam kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan, dan oleh itu menunjukkan kesan WASH pada jangkitan STH adalah lebih berkesan berbanding aplikasi pemberian ubat yang banyak sahaja.
Apakah yang dikaji dalam ulasan?
Ulasan sebelum ini yang menilai WASH dan jangkitan STH banyak bergantung pada kajian yang tidak bersifat eksperimen. Kami telah menyiasat bukti eksperimen yang ketat yang menilai peranan program WASH untuk mengurangkan jangkitan STH.
Apakah keputusan utama ulasan?
Kami telah mencari penulisan saintifik untuk kajian yang berkaitan (diterbitkan, tidak diterbitkan, dalam proses, dan sedang dijalankan) sehingga 19 Oktober 2021 dan mengenal pasti 32 kajian (16 RCT dan 16 bukan RCT) yang mendaftarkan sejumlah 52,944 peserta. Kami menjumpai bukti bahawa intervensi WASH yang dikaji mungkin menyebabkan sedikit pengurangan untuk mana-mana jangkitan STH. Pengumpulan 14 RCT untuk analisis hasil ini menunjukkan kemungkinan jangkitan STH adalah lebih rendah (14%) dalam kalangan kumpulan WASH berbanding kumpulan kawalan. Begitu juga, pengumpulan lapan bukan RCT untuk analisis sebarang jangkitan STH menunjukkan bahawa kemungkinan sebarang jangkitan STH adalah 29% lebih rendah dalam kalangan peserta dalam kumpulan WASH berbanding kumpulan kawalan. Apabila mempertimbangkan analisis yang menilai intervensi WASH pada spesies individu cacing, bukti adalah sangat tidak menentu; intervensi WASH mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada pengurangan dalam jangkitan Trichuris trichiura dan mungkin menyebabkan sedikit pengurangan dalam jangkitan Ascaris lumbricoidesdan cacing kerawit. Data tentang intensiti jangkitan (cth kiraan telur najis) yang dilaporkan dalam pelbagai cara merentasi kajian, menghalang pengumpulan keputusan untuk hasil ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 19 Oktober 2021.
Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric Inc.). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my