Pengulas ingin membandingkan keberkesanan intervensi atau model penjagaan yang berlainan dalam peningkatan hasil kepada ibubapa yang pernah mengalami kelahiran mati pada 20 minggu kehamilan atau lebih Penjagaan tersebut boleh dimulakan sebelum kehamilan atau semasa kehamilan, prose bersalin atau kelahiran.
Apakah isunya?
Setiap tahun sekurang-kurangnya 2.6 juta keluarga mengalami tragedi kelahiran mati. Peritiwa yang mengecewakan ini boleh mengakibatkan kesan jangka panjang dan perubahan tingkah laku ibubapa untuk kehamilan seterusnya. Terdapat pelbagai penyebab kelahiran mati, dan kadang-kadang pelbagai penyebab ini berlaku bersama-sama. Penyebab seperti masalah kesihatan yang berpanjangan dalam kalangan ibu masih ada dalam kehamilan berikutnya. Oleh sebab itu, ibubapa boleh mendapat manfaat dari penjagaan khas sebelum hamil semula. Penjagaan tersebut mungkin dalam pelbagai bentuk, untuk menangani pelbagai faktor risiko, keadaan, dan pertimbangan-pertimbangan lain. Penjagaan ini boleh dalam bentuk kaunseling atau program sokongan sosial untuk membantu mereka menghadapi kesedihan, keresahan dan kemurungan; penjagaan kesihatan ibu yang lebih baik sebelum hamil dengan menangani isu kesihatan, membantu menangani tingkah laku yang berisiko tinggi atau faktor risiko seperti berlebihan berat badan, merokok dan pengambilan alkohol. Setelah hamil,ibu ini perlu dijaga rapi, mungkin mereka perlu lawatan antenatal yang lebih kerap atau perlu menghadiri klinik antenatal khas. Kelahiran awal terancang juga perlu dipertimbangkan.
Mengapakah ini penting?
Ibubapa yang pernah mempunyai bayi dengan kelahiran mati adalah lebih cenderung untuk mengalami kelahiran mati berbanding ibubapa yang tidak pernah mengalaminya. Pada kehamilan seterusnya, ibubapa selalunya merasa resah dan murung, dan akan mengalami kerisauan yang berterusan sama ada bayi mereka akan hidup. Adalah penting untuk mencari kajian klinikal yang berkualiti tinggi yang intervensinya dapat membantu untuk mencegah kelahiran mati daripada berlaku lagi, dan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kesejahteraan ibubapa dan keluarga ini.
Apakah bukti yang pengulas perolehi?
Pengulas mencari bukti daripada ujikaji rawak terkawal yang diterbitkan sehingga Jun 2018. Pengulas merangkumkan 10 kajian dengan bias yang berisiko rendah hingga sederhana. Kesemuanya, kecuali satu kajian adalah dari negara yang berpendapatan tinggi, terutamanya di kawasan maju di Eropah. Wanita yang terlibat dalam kajian-kajian ini adalah yang hamil atau cuba untuk hamil selepas mengalami keguguran, kelahiran mati, atau mengalami komplikasi serius semasa kehamilan terdahulu. Intervensi termasuklah dua jenis ubat (aspirin berdos rendah dan heparin dengan berat molekul rendah) yang dapat mengurangkan pembekuan darah dan mungkin dapat membantu fungsi plasenta (enam kajian), suntikan sel darah sebelum hamil (imunisasi leukosit pihak ketiga) untuk membantu sistem imun ibu berhadapan dengan kehamilan (satu kajian), sejenis antibodi khas (imunoglobulin intravena) diberikan melalui vena untuk meningkatkan fungsi sistem imun wanita hamil (dua kajian), dan suntikan ubatan (progestogen) yang dapat berfungsi seperti hormon kehamilan progesteron (satu kajian). Pengulas menilai data daripada 222 wanita yang pernah mengalami bayi lahir mati semasa 20 minggu kehamilan atau lebih.
Pengulas tidak dapat menentukan sama ada intervensi-intervensi ini dapat mengurangkan peluang mendapat bayi lahir mati dalam kehamilan seterusnya; atau sama ada intervensi tersebut dapat mengurangkan kematian bayi atau mengalami komplikasi yang serius dalam bulan pertama kelahiran, kerana kajian tersebut tidak cukup besar untuk pengulas mempunyai keyakinan di dalam keputusannya. Sebahagian besarnya, pengulas menilai kualiti bukti dalam ulasan adalah terlalu rendah hingga rendah. Terdapat dua intervensi (aspirin berdos rendah dan imunisasi leukosit pihak ketiga) yang menunjukkan peningkatan berat lahir bayi, tetapi keputusan ini tidak boleh dipercayai kerana hanya sebilangan kecil sahaja bayi yang terlibat.
Kajian yang terlibat menyertakan sedikit maklumat sahaja berkenaan hasil psikologi ibubapa atau hasil jangka panjang ke atas kanak-kanak dan keluarga.
Apakah maksudnya?
Bukti daripada kajian yang dirangkumkan tidak mencukupi dalam ulasan untuk mengetahui intervensi yang dapat membantu mencegah kelahiran mati daripada berulang, dan untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan ibubapa dan keluarga yang mengalami kelahiran kelahiran mati. Lebih banyak kajian sasaran diperlukan, yang melibatkan rlebih ramai wanita/ ibubapa yang pernah mengalami kelahiran mati. Kita amat memerlukan kajian yang dapat mengkaji bentuk sokongan psikologi yang paling membantu untuk mengurangkan keresahan dan kemurungan dalam kalangan ibubapa ini. Kajian-kajian yang ingin dijalankan di masa hadapan perlu menilai kos kewangan intervensi, dan hasil kesihatan jangka panjang dalam kalangan keluarga dan kanak-kanak.
Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my.