Perencat dipeptidil peptidase-4 (DPP-4i) dan glucagon seperti peptida (GLP) -1 analog untuk pencegahan atau melambatkan penyakit diabetes (jenis 2)

Soalan ulasan

Adakah perencat DPP-4 (contohnya linagliptin atau vildagliptin) dan GLP-1 analog (contohnya exenatide atau liraglutide) yang digunakan untuk merendahkan kadar glukos dalam darah dapat mencegah atau melambatkan perkembangan penyakit diabetes (jenis 2) dan komplikasi yang berkaitan dengannya dalam orang yang berisiko dengan perkembangan penyakit diabetes (jenis 2)?

Latar belakang

Perencat DPP4 dan GLP-1 analog digunakan secara meluas untuk merawat pesakit yang menghidapi penyakit diabetes (Jenis 2). Mereka yang mempunyai kadar glukos sederhana tinggi di dalam darah dikatakan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit diabetes (jenis 2) (sering dirujuk sebagai 'pradiabetes'). Terkini, tidak ada maklumat sama ada perencat DPP-4 atau GLP-1 analog perlu diberikan kepada mereka yang mempunyai paras glukos darah yang agak tinggi tetapi mereka belum lagi mengidap diabetes (Jenis 2). Kami mahu mengetahui sama ada ubat-ubatan ini boleh mencegah atau melewatkan penyakit diabetes (Jenis 2) padamereka yang mempunyai risiko yang agak tinggi untuk mendapat penyakit ini. Kami juga ingin tahu kesan ke atas hasil pesakit yang penting seperti komplikasi penyakit kencing manis (contohnya penyakit buah pinggang dan penyakit mata, serangan jantung, strok), kematian daripada sebarang punca, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang dengan kehidupan dan kesihatan mereka) dan kesan-kesan sampingan ubat-ubatan.

Ciri-ciri kajian

Peserta perlu mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada yang dianggarkan biasa, tetapi di bawah paras glukosa yang digunakan untuk mengesan penyakit diabetes (jenis 2). Kami melihat tujuh kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta akan diletakkan secara rawak dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dalam ulasan ini. Tempoh rawatan yang berbeza antara 12 minggu hingga 160 minggu. Satu kajian menyiasat liraglutide menguasai bukti (2285/2702 peserta). Peserta dalam kajian ini mempunyai berat badan yang berlebihan atau gemuk.

Bukti ini adalah terkini pada Januari 2016.

Keputusan-keputusan utama

Perencat DPP-4 tidak mengurangkan risiko untuk berkembang ke penyakit kencing manis (jenis 2) berbanding dengan plasebo. Dalam kajian yang besar menyiasat liraglutide GLP-1-analog, di mana dos yang digunakan adalah dos untuk orang dewasa obes (3.0 mg), perkembangan penyakit diabetes (jenis 2) dapat dilambatkankan: 26/1472 (1.8%) peserta yang mengambil liraglutide berbanding dengan 46 / 738 (6.2%) peserta yang mengambil plasebo mendapat penyakit diabetes (Jenis 2) selepas 160 minggu. Keputusan lain pula, paras glukosa kembali normal dalam 970/1472 (66%) peserta yang mengambil liraglutide berbanding dengan 268/738 (36%) peserta yang mengambil plasebo. Kajian ini telah dilanjutkan selama 12 minggu lagi tanpa rawatan dengan tambahan lima peserta mendapat penyakit diabetes dalam kumpulan liraglutide, berbanding dengan seorang peserta dalam kumpulan plasebo. Selepas 12 minggu tanpa rawatan, 740/1472 (50%) peserta dalam kumpulan liraglutide berbanding dengan 263/738 (36%) peserta dalam kumpulan plasebo mempunyai tahap glukosa yang dianggap normal. Ini bermakna bahawa untuk memastikan peluang yang tinggi untuk mencegah penyakit kencing manis (jenis 2) dikalangan orang yang mempunyai risiko, mereka mungkin perlu terus mengambil ubat ini seumur hidup. Daripada yang diperhatikan, kesan buruk yang serius (contohnya ditakrifkan sebagai kemasukkan hospital atau risiko bahaya ke atas peserta, seperti interaksi dengan ubat lain) berlaku lebih kerap selepas rawatan liraglutide (230/1524 (15%) dan 96/755 (13%) peserta dalam kumpulan plasebo). Tidak jelas sama ada selamat untuk mengambil ubat ini dalam jangka masa panjang.

Kami mengesan bahawa perencat DPP-4 atau GLP-1 analog tidak ada kelebihan ataupun risko dari segi mendapat serangan jantung bukan fatal, strok bukan fatal ataupun kegagalan jantung. Kajian yang kami masukkan tidak melaporkan komplikasi diabetesyang lain seperti kegagalan buah pinggang atau komplikasi mata. Kesan ke atas kualiti kesihatan tidak dapat dinyatakan secara tepat. Dalam kajian yang disertakan, terdapat beberapa peserta yang meninggal dunia tetapi ia tidak ada kaitan dengan rawatan.

Kajian yang akan datang perlu menyiasat hasil pesakit utama seperti komplikasi diabetes dan terutamanya kesan sampingan ubat-ubatan, kerana kita tidak pasti sama ada 'prediabetes' merupakan salah satu keadaan takrifan makmal sahaja atau faktor risiko sebenar untuk diabetes (jenis 2) dan sama ada rawatan bagi keadaan ini dapat diterjemahkan kepada kesihatan pesakit yang lebih baik.

Kualiti bukti

Semua kajian yang dilihat mempunyai kekurangan dalam cara kajian itu dilakukan dan juga cara objektif utama dilaporkan. Untuk perbandingan individu, bilangan peserta yang kecil, menyebabkan ralat rawak yang tinggi yang boleh menganggu keputusan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Di sunting oleh Rosnani Zakaria(Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information