Terapi bukan pembedahan bagi penyakit Peyronie

Soalan ulasan

Dalam kalangan lelaki dengan penyakit Peyronie, bagaimanakah rawatan bukan pembedahan, seperti pil, krim, suntikan, atau rawatan menggunakan gelombang kejutan, mempengaruhi fungsi seksual yang dilaporkan?

Latar belakang

Penyakit Peyronie boleh menyebabkan kelengkungan zakar, kesakitan, atau kedua-duanya sekali, lalu menyukarkan untuk melakukan persetubuhan penetrasi. Selain daripada pembedahan, banyak rawatan lain yang mungkin atau tidak mungkin membantu untuk penyakit ini, tetapi tidak jelas sejauh mana ianya berfungsi.

Kaedah

Kami menggunakan kaedah Cochrane yang disyorkan, termasuk GRADE untuk menilai kepastian bukti.

Tarikh carian

Penemuan untuk ulasan kami adalah terkini setakat 23 September 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 14 kajian melibatkan 1810 lelaki dengan penyakit Peyronie. Kami hanya menyertakan kajian yang membandingkan rawatan ini dengan plasebo (pil atau suntikan yang kelihatan serupa tetapi tanpa ubat aktif), rawatan palsu (pura-pura), atau tiada rawatan. Kami hanya menyertakan kajian yang mana rawatan yang diterima oleh peserta ditentukan oleh nasib.

Keputusan utama

Kami menemui bukti untuk 10 jenis rawatan berbeza yang tidak melibatkan prosedur pembedahan. Dalam rumusan ini, kami menumpukan kepada rawatan-rawatan yang diberitahu oleh pakar adalah yang paling penting untuk diketahui. Selain itu juga, di sini kami hanya melaporkan tiga keputusan utama: laporan pesakit sendiri mengenai keupayaan mereka untuk bersetubuh, kualiti hidup mereka, dan kesan sampingan. Kami juga merumuskan data mengenai tahap kelengkungan zakar.

Suntikan kolagenase (jangka pendek): Kami menemui tiada bukti tentang bagaimana suntikan kolagenase mempengaruhi keupayaan pesakit yang dilaporkan sendiri untuk bersetubuh atau menyebabkan kesan sampingan berkaitan rawatan yang tidak diingini dalam jangka masa pendek. Suntikan kolagenase boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kualiti hidup. Mungkin terdapat sedikit hingga tiada kesan terhadap tahap kelengkungan zakar.

Suntikan kolagenase (jangka panjang): Kami juga menemui tiada bukti tentang bagaimana suntikan kolagenase mempengaruhi keupayaan pesakit yang dilaporkan sendiri untuk bersetubuh dalam jangka masa panjang. Suntikan kolagenase berkemungkinan mengakibatkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kualiti hidup, tetapi berkemungkinan meningkatkan kesan sampingan yang tidak diingini. Tambahan pula, dalam jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan sedikit hingga tiada perubahan terhadap tahap kelengkungan zakar.

Suntikan verapamil (jangka pendek): Kami sangat tidak pasti bagaimana suntikan verapamil boleh mempengaruhi keupayaan pesakit untuk bersetubuh yang dilaporkan sendiri. Kami menemui tiada bukti untuk hasil kualiti hidup. Kami sangat tidak pasti bagaimana suntikan verapamil boleh mempengaruhi kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan. Begitu juga, kami sangat tidak pasti bagaimana suntikan verapamil boleh mempengaruhi tahap kelengkungan zakar.

Kami tidak menemui data jangka panjang untuk sebarang hasil.

Rawatan gelombang kejutan ekstrakorporeal (ESWT): Kami sangat tidak pasti bagaimana ESWT mempengaruhi keupayaan pesakit untuk bersetubuh yang dilaporkan sendiri. ESWT boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup. Kami sekali lagi sangat tidak pasti jika ESWT mempunyai kesan terhadap kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan. ESWT boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam tahap kelengkungan zakar berbanding dengan plasebo.

Kami tidak menemui data jangka panjang untuk sebarang hasil.

Terapi tarikan zakar (jangka pendek): Kami menemui tiada bukti tentang sama ada terapi tarikan zakar berbanding dengan tanpa rawatan mempengaruhi keupayaan pesakit yang dilaporkan sendiri untuk bersetubuh. Kami sangat tidak pasti bagaimana terapi tarikan boleh mempengaruhi kualiti hidup. Kami juga sangat tidak pasti bagaimana terapi tarikan boleh mempengaruhi kesan sampingan yang berkaitan dengan rawatan dan bagaimana ia mempengaruhi tahap kelengkungan.

Kami tidak menemui data jangka panjang untuk sebarang hasil.

Kepastian bukti

Kepastian tentang bukti adalah terutamanya sangat rendah atau rendah untuk kebanyakan intervensi yang dinilai. Kepastian tentang bukti adalah sederhana untuk suntikan kolagenase (kesan jangka panjang). Ini bermaksud bahawa keyakinan kami terhadap keputusan berkisar dari sangat rendah hingga sederhana (dan kebanyakannya sangat rendah).

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my, untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information