Membandingkan pelbagai frekuensi suntikan untuk degenerasi makula yang berkaitan dengan usia neovaskular

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika suntikan faktor pertumbuhan endotelium anti-vaskular (anti-VEGF) untuk degenerasi makula yang berkaitan dengan usia neovaskular (nAMD) dapat diberi lebih jarang daripada setiap bulan.

Mesej-mesej utama
Ulasan ini mendapati orang yang menerima suntikan bulanan mempunyai penglihatan yang sedikit lebih baik (satu atau dua huruf lebih banyak pada carta ujian penglihatan, kurang dari separuh garis penglihatan) pada satu tahun berbanding orang yang menerima suntikan 'seperti yang diperlukan' (purata: tujuh suntikan), tetapi tiada perbedaan dengan rejimen 'yang diperlukan' yang diubah suai yang disebut rawat-dan-memperpanjang (purata: sembilan suntikan). Orang yang menerima suntikan bulanan mempunyai lebih banyak suntikan dan ini meningkatkan risiko kesan sampingan yang jarang berlaku tetapi teruk seperti jangkitan.

Apakah yang dikaji didalam ulasan ini?
Degenerasi makula yang berkaitan dengan usia neovaskular berlaku dalam kalangan orang tua dan mempengaruhi bahagian tengah penglihatan. Dalam NAMD, saluran darah baru tumbuh di bahagian belakang mata.

Orang dengan nAMD boleh mendapat manfaat daripada suntikan ubat ke dalam mata. Ubat-ubatan 'anti-VEGF' ini menyekat pertumbuhan saluran darah baru. Pada masa ini, terdapat variasi berapa sering suntikan diberi. Sebilangan besar suntikan boleh memberi penglihatan lebih baik tetapi juga meningkatkan bahaya, seperti endoftalmitis, jangkitan mata yang mengancam penglihatan. Lebih banyak suntikan juga lebih mahal bagi perkhidmatan kesihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Para penyelidik Cochrane mengenal pasti 15 kajian (7732 peserta) yang membandingkan suntikan bukan bulanan dan bulanan. Enam daripada 15 kajian dibiaya oleh pengeluar ubat.

Ulasan mendapati:

Orang dengan suntikan anti-VEGF yang kurang kerap mungkin mempunyai penglihatan yang sedikit lebih buruk pada satu tahun berbanding orang dengan suntikan bulanan ketika suntikan (purata tujuh) diberi 'seperti yang diperlukan'. Ini adalah perbezaan lebih 1 atau 2 huruf yang dibaca pada carta ujian penglihatan dan kira-kira 10% peningkatan peluang memperoleh 15 atau lebih huruf penglihatan dengan suntikan bulanan. Tiada bukti perbezaan antara suntikan bulanan dan rawat dan memperpanjang (purata sembilan suntikan).

Terdapat peningkatan peluang endoftalmitis dengan suntikan bulanan. Endoftalmitis jarang berlaku, ia berlaku sekitar 8 dalam 1000 orang yang mengambil suntikan bulanan selama satu tahun, dan dalam sekitar 1 per 1000 orang (julat 0 hingga 4) yang mengambil kurang suntikan bulanan 'seperti yang diperlukan'.

Adakah ulasan ini mutakhir?
Carian dikemas kini pada 18 Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information