Apakah faedah dan risiko memberikan laktoferin kepada bayi cukup bulan yang menjalani pembedahan saluran pencernaan?

Mesej utama

Kami tidak menemui kajian perubatan yang menyiasat kesan pemberian laktoferin (sejenis protein yang terdapat dalam susu) kepada bayi yang dilahirkan cukup bulan (pada atau selepas 37 minggu kehamilan) yang telah menjalani pembedahan pada saluran pencernaan mereka.

Apakah itu laktoferin?

Laktoferin ialah protein yang terdapat dalam susu yang boleh melindungi daripada jangkitan. Suplemen laktoferin boleh didapati dan telah dikaji pada bayi pramatang. Terdapat bukti-bukti bahawa laktoferin boleh mencegah jangkitan pada bayi pramatang.

Apakah risiko-risiko pembedahan saluran pencernaan pada bayi?

Pembedahan saluran pencernaan meningkatkan risiko jangkitan. Jangkitan boleh memanjangkan tempoh rawatan di hospital. Rawatan dengan antibiotik (ubat yang melawan jangkitan bakteria) dan stres akibat pembedahan boleh menjejaskan bakteria baik di dalam saluran pencernaan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada memberikan laktoferin kepada bayi cukup bulan selepas pembedahan saluran pencernaan menurunkan kadar jangkitan dan kematian, dan meningkatkan kehadiran bakteria baik dalam saluran pencernaan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian di mana bayi yang menjalani pembedahan saluran pencernaan diagihkan secara rawak kepada rawatan laktoferin atau plasebo (rawatan 'palsu' yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi kelihatan atau rasanya sama dengan ubat yang diuji).

Apa yang kami dapati?

Kami tidak menemui sebarang kajian yang membandingkan pemberian laktoferin dengan plasebo pada bayi cukup bulan yang menjalani pembedahan saluran pencernaan. Kajian-kajian yang direka dengan baik dan dalam kuantiti yang besar diperlukan untuk menjawab persoalan ini. 

Sejauh mana bukti ini terkini?

Carian terkini adalah sehingga Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information