Soalan ulasan
Untuk menilai sama ada strategi pencegahan terjatuh yang menyasarkan dua atau lebih faktor risiko terjatuh (intervensi pelbagai faktor) atau kombinasi tetap intervensi (intervensi pelbagai komponen) berkesan dalam mencegah terjatuh dalam kalangan warga emas yang tinggal dalam komuniti.
Latar belakang
Apabila individu meningkat usia, mereka lebih cenderung untuk jatuh. Walaupun kebanyakan kecederaan yang berkaitan dengan kejatuhan adalah kecil, ia boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan yang ketara, dan menjejaskan keyakinan seseorang serta menyebabkan kehilangan kebebasan. Sesetengah kejatuhan boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang yang serius. Gabungan faktor meningkatkan risiko terjatuh dengan penuaan, seperti otot yang lemah, sendi kaku, masalah pendengaran, perubahan dalam penglihatan, kesan sampingan ubat, keletihan atau kekeliruan. Pencahayaan yang kurang baik, permukaan licin atau tidak rata, dan masalah dengan kasut yang tidak baik juga boleh meningkatkan risiko terjatuh.
Intervensi yang berbeza telah dibangunkan untuk membantu mencegah kejatuhan pada orang yang lebih tua. Mereka mungkin melibatkan satu jenis campur tangan, seperti senaman untuk meningkatkan kekuatan otot, atau gabungan intervensi, seperti senaman dan pelarasan ubat seseorang. Gabungan dua atau lebih komponen boleh disampaikan sama ada sebagai intervensi pelbagai faktor berdasarkan penilaian faktor risiko kejatuhan seseorang atau sebagai intervensi pelbagai komponen di mana gabungan intervensi yang sama diberikan kepada semua peserta.
Tarikh carian
Kami mencari literatur penjagaan kesihatan untuk laporan ujian terkawal rawak yang berkaitan dengan ulasan ini sehingga 12 Jun 2017.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 62 kajian percubaan terawak yang melilbatkan 19,935 orang peserta yang tua. Kebanyakan kajian termasuk lebih ramai wanita berbanding dengan lelaki; purata umur dalam percubaan kajian adalah antara 62 hingga 85 tahun. Percubaan kajian membandingkan intervensi dengan kumpulan kawalan tidak aktif yang menerima penjagaan biasa (tiada perubahan dalam aktiviti biasa) atau tahap perhatian yang sepadan (seperti lawatan sosial) atau kepada kumpulan kawalan aktif yang menerima program senaman.
Hasil utama
Kami mengenal pasti 43 kajian yang membandingkan intervensi multifaktorial dengan kawalan tidak aktif. Intervensi pelbagai faktor membawa sedikit pengurangan dalam kadar kejatuhan individu berbanding dengan kumpulan kawalan yang tidak aktif, tetapi kualiti bukti adalah rendah kerana perbezaan besar dalam cara kajian dijalankan. Kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan individu yang mengalami satu atau lebih jatuh (penghidap), jatuh berulang-ulang, patah tulang akibat kejatuhan, atau mengalami kejatuhan yang memerlukan kemasukan ke hospital atau rawatan perubatan. Intervensi pelbagai faktor mungkin memberi sedikit perbezaan kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan orang ramai. Terdapat bukti yang sangat terhad mengenai kejadian buruk yang berkaitan dengan intervensi; kesemua 12 aduan muskuloskeletal yang dilaporkan seperti sakit belakang adalah kecil.
Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menentukan kesan intervensi multifaktorial berbanding dengan senaman kerana ini hanya dinilai dalam satu percubaan kajian yang kecil.
Kami mengenal pasti 18 kajian yang menilaikan kesan intervensi pelbagai komponen. Tujuh belas membandingkan intervensi dengan kumpulan kawalan yang tidak aktif dan lima membandingkan intervensi dengan senaman. Tujuh belas daripada kajian termasuk senaman dalam intervensi dan komponen lain, selalunya pendidikan tentang pencegahan jatuh atau penilaian keselamatan rumah. Terdapat juga bukti terhad mengenai kejadian buruk yang berkaitan dengan intervensi; kesemua enam kejadian yang dilaporkan adalah kecil.
intervensi pelbagai komponen mungkin mengurangkan kadar kejatuhan individu dan bilangan kejatuhan berbanding dengan kumpulan kawalan yang tidak aktif. Mereka juga boleh mengurangkan bilangan individu yang mengalami kejatuhan berulang-ulang. Bukti itu tidak mencukupi untuk menentukan kesannya terhadap patah tulang yang berkaitan dengan kejatuhan atau kemasukan ke hospital. Intervensi pelbagai komponen mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada risiko kejatuhan yang memerlukan perhatian perubatan. Walau bagaimanapun, ia mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan individu.
Percubaan kajian yang membandingkan intervensi pelbagai komponen dengan senaman menunjukkan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar individu jatuh dan bilangan kejatuhan, tetapi tidak mempunyai cukup bukti untuk menentukan kesan ke atas kemasukan ke hospital. Hasil-hasil kajian lain yang tidak dilaporkan.
Kualiti bukti kajian
Kami menilai kualiti bukti yang sedia ada sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah. Ini bermakna kami mempunyai keyakinan yang terhad tentang keputusan di mana bukti adalah kualiti rendah, tetapi tidak pasti di mana bukti yang berkualiti rendah.
Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my