Pendidikan pemakanan untuk menyokong bayi yang lahir cukup bulan bercerai susu

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti kesan pendidikan amalan pemakanan yang sesuai semasa bercerai susu pada tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak yang dilahirkan cukup bulan.

Latar belakang

Di seluruh dunia, lebih 150 juta kanak-kanak kekurangan zat makanan dan lebih 42 juta mengalami berat badan berlebihan dan obes. Menyediakan keluarga dengan pendidikan yang sesuai mengenai amalan pemakanan semasa bercerai susu mungkin membantu mengoptimumkan pemakanan sambil membantu melindungi kanak-kanak yang berisiko kekurangan zat makanan, serta mereka yang terdedah kepada berat badan berlebihan dan obes.

Ciri-ciri kajian

Kami meneliti penyelidikan yang diterbitkan sehingga Disember 2019 dan menemui 21 kajian klinikal melibatkan 14,241 bayi. Pendidikan pemakanan disediakan dalam semua kajian, di mana analisis boleh dikumpulkan bersama, bertujuan untuk mengurangkan risiko kekurangan zat makanan pada kanak-kanak. Lima kajian telah dijalankan di negara berpendapatan tinggi, tetapi penemuan yang dilaporkan tidak boleh dimasukkan dan dikumpulkan bersama dalam ulasan ini.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa pendidikan pemakanan tentang amalan pemakanan yang sesuai semasa bercerai susu dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana boleh meningkatkan berat dan ketinggian pada usia 12 bulan. Kami sangat tidak pasti tentang kesan pendidikan pemakanan terhadap perkembangan kanak-kanak dan risiko anemia pada usia satu tahun, kerana hanya dua kajian melaporkan setiap hasil ini. Oleh itu, keputusan ini diterangkan hanya dalam teks. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai kesan pendidikan pemakanan terhadap risiko berat badan berlebihan dan obesiti kanak-kanak dan melaporkan hasil yang boleh dikumpulkan bersama dalam ulasan ini.

Kepastian bukti

Kepastian bukti untuk pengurangan risiko kekurangan zat makanan kanak-kanak dengan pendidikan pemakanan adalah rendah hingga sederhana, disebabkan oleh batasan dalam reka bentuk kajian dan perbezaan antara kajian yang disertakan dalam ulasan kami. Jumlah peningkatan dalam perkembangan yang dicatatkan adalah kecil dan kepentingan klinikal tidak jelas. Lebih banyak kajian jangka panjang diperlukan untuk melihat sama ada peningkatan ini berterusan kemudiannya, yang membawa kepada peningkatan yang lebih besar. Kami menilai kepastian bukti untuk hasil lain yang termasuk dalam kajian ini sebagai rendah kerana bilangan kajian yang disertakan terhad.

Kajian lanjut diperlukan untuk menentukan sama ada pendidikan pemakanan boleh mengurangkan risiko pemakanan berlebihan dan obesiti pada kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information