Latar belakang
Karsinoma hepatoselular, juga disebut hepatoma malignan, adalah kanser hati utama. Walaupun pengawasan berkala dilakukan pada populasi berisiko tinggi, kebanyakan orang dengan karsinoma hepatoselular didiagnosis pada tahap lanjut. Akibatnya, sebilangan kecil penghidap penyakit ini sesuai untuk pembedahan reseksi (penyingkiran). Sejak kemoembolisasi arteri transkateter (TACE; prosedur untuk menyekat bekalan darah ke tumor) diperkenalkan sebagai rawatan paliatif (untuk melegakan gejala dan meningkatkan kualiti hidup) pada orang dengan kanser hati yang tidak dapat disiingkirkan, ia menjadi salah satu bentuk intervensi yang paling biasa. Baru-baru ini, teknologi radiasi moden radioterapi konformal tiga dimensi (3-DCRT), yang membentuk sinar radiasi ke bentuk tumor, telah digunakan untuk memperbaiki kesan buruk radioterapi konvensional. Adalah diramalkan bahawa gabungan TACE diikuti oleh 3-DCRT dapat meningkatkan kesan rawatan untuk karsinoma hepatoselular. Sehingga kini, tidak banyak yang diketahui mengenai faedah dan mudarat gabungan TACE diikuti oleh 3-DCRT, dan kajian semasa masih kontroversi untuk keberkesanan gabungan TACE diikuti oleh 3-DCRT berbanding dengan TACE sahaja. Tujuan ulasan sistematik Cochrane ini adalah untuk membandingkan faedah dan mudarat TACE diikuti oleh 3-DCRT berbanding TACE sahaja dalam kalangan penghidap karsinoma hepatoselular primer, yang dianggap tidak sesuai untuk pembedahan penyingkiran.
Ciri-ciri kajian
Penulis ulasan mencari penulisan perubatan untuk menjelaskan peranan gabungan TACE diikuti oleh 3-DCRT untuk rawatan karsinoma hepatoselular primer, dan untuk membandingkan faedah dan mudarat dengan TACE sahaja. Kami mengumpul dan menganalisis data dari kajian rawak klinikal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) bagi penghidap dengan karsinoma hepatoselular primer yang dapat menerima TACE atau 3-DCRT. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2018.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Ulasan ini merangkumkan lapan kajian dengan 632 peserta. Semua kajian adalah berisiko bias yang tinggi. TACE diikuti oleh 3-DCRT nampaknya lebih baik daripada TACE dalam memperbaiki jumlah kematian dari sebarang sebab dan tindak balas tumor, walaupun peningkatan toksisiti ditunjukkan dengan peningkatan jumlah bilirubin yang lebih tinggi (diukur dengan ujian darah untuk melihat seberapa baik hati berfungsi). Tiada kajian yang melaporkan kesan sampingan akibat intervensi tersebut. Satu kajian melaporkan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka), tetapi ini tidak ditakrifkan dengan baik. Penemuan ulasan adalah tidak pasti kerana kajian yang disertakan mempunyai kelemahan metodologi. Lebih banyak kajian klinikal rawak yang berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk mengesahkan atau menyelesaikan penemuan kajian.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my