Ujian darah di peringkat lewat kehamilan untuk mengenal pasti bayi kecil dan yang berisiko lahir mati

Latar belakang

Disfungsi plasenta adalah apabila plasenta tidak memenuhi keperluan bayi yang sedang membesar; ia boleh menyebabkan bayi lebih kecil dari yang dijangka atau mati semasa lahir. Pada masa ini, tidak mudah untuk mengesan disfungsi plasenta sebelum kelahiran. Imbasan ultrasound paling kerap diguna untuk mengenal pasti bayi kecil. Walau bagaimanapun, terdapat ujian yang boleh mengukur bahan yang dihasilkan oleh plasenta dalam darah dan air kencing ibu yang boleh mengesan plasenta tidak berfungsi dengan baik. Kami berhasrat untuk mencari ujian terbaik untuk mengenal pasti disfungsi plasenta.

Apa yang telah kami lakukan

Kami mencari kajian-kajian pada Oktober 2016 dan mengenal pasti sejumlah 24,059 kajian - dengan 91 kajian yang memberikan maklumat yang boleh disertakan dalam ulasan ini. Kami melihat imbasan ultrasound dan enam ujian bahan plasenta yang berlainan, termasuk protein dan hormon. Kajian-kajian ini melibatkan sejumlah 175,426 wanita yang mana 15,471 kehamilan berakhir dengan kelahiran bayi kecil dan 740 kehamilan berakhir dengan lahir mati.

Apa yang kami temui

Daripada 91 kajian yang dimasukkan, 86 mempunyai maklumat tentang bayi kecil, di mana 18 kajian juga melihat kepada lahir mati; manakala lima kajian lagi hanya melihat kepada lahir mati. Ujian yang paling tepat untuk mengesan bayi kecil adalah imbasan ultrasound untuk menganggar berat bayi. Daripada bahan yang diukur dalam darah ibu, laktogen plasenta manusia (hPL), satu hormon yang dihasilkan oleh plasenta semasa hamil, adalah yang paling tepat. Hanya satu kajian yang melihat kedua-dua imbasan ultrasound dan ukuran bahan plasenta. Faktor pertumbuhan plasenta (PlGF) adalah ujian paling tepat untuk bahan plasenta bagi mengenal pasti bayi yang akan lahir mati; tiada kajian imbasan ultrasound untuk mengesan bayi yang akan lahir mati. Ujian bahan plasenta adalah lebih baik untuk mengenal pasti bayi berisiko lahir mati berbanding mengesan bayi kecil.

Maklumat penting lain untuk dipertimbangkan

Kebanyakan kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini telah dijalankan di antara 1974 dan 2016. Kajian bahan plasenta kebanyakannya dijalankan sebelum 1991 dan selepas 2013; kajian-kjian terdahulu mungkin tidak mencerminkan perkembangan dalam teknologi ujian. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui sama ada gabungan imbasan ultrasound dan ujian darah ibu dapat memperbaiki identifikasi kehamilan yang berakhir dengan kelahiran bayi kecil atau bayi yang lahir mati. Tiada kajian yang dikenalpasti untuk ulasan ini yang melihat kepada ketepatan gabungan keputusan ultrasound dan ujian darah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com

Tools
Information