Adakah alat berkhatan lebih selamat atau lebih pantas jika dibandingkan dengan cara khatan pembedahan yang biasa dilakukan untuk lelaki yang berumur lebih dari 10 tahun?

Latar belakang

Berkhatan pada lelaki telah dilakukan selama berabad-abad dan merupakan salah satu prosedur pembedahan yang paling biasa pada lelaki. Doktor perubatan biasanya melakukan khatan dengan membuang kulup yang terdapat pada bahagian atas zakar dalam prosedur pembedahan. Sebilangan doktor menggunakan alat berkhatan yang direka khas untuk khatan lelaki. Alatan dan kaedah ini dipercayai dapat menjimatkan masa, dan menjadi kaedah berkhatan yang lebih ringkas dan selamat. Tetapi, tidak jelas dari segi bukti kajian sama ada lelaki yang disunat dengan alat ini mendapat hasil kesihatan yang lebih baik.

Ciri-ciri kajian

Setelah mencari literatur, kami menjumpai 18 ujian klinikal yang merangkumi 5246 lelaki. Kami melihat maklumat dari kajian yang membandingkan cara berkhatan menggunakan pembedahan biasa dan prosedur khatan menggunakan alat. Kami membandingkan komplikasi (pengalaman negatif) yang dialami pesakit selepas berkhatan; jumlah masa yang diperlukan oleh ahli kesihatan untuk melakukan sunat; kesakitan pesakit pada siang hari selepas prosedur dan satu minggu selepas itu; dan jumlah kepuasan yang dirasakan oleh pesakit dengan prosedur tersebut.

Keputusan utama

Mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam komplikasi serius (kesan negatif) seperti kemasukan ke hospital atau kerosakan kekal pada zakar dalam mana mana kajian sama ada peserta lelaki melalui pembedahan khatan biasa atau menggunakan alat khatan.

Mungkin ada komplikasi yang sederhana serius yang memerlukan rawatan tambahan seperti jahitan atau antibiotik untuk mereka yang disunat dengan alat khatan, dan bukti lebih lanjut mungkin akan dapat membantu kami memahami perkara ini dengan lebih baik.

Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan ataupun tidak dalam komplikasi ringan seperti pendarahan ringan yang memerlukan rawatan tambahan, dan bukti lebih lanjut mungkin akan dapat membantu kami memahami perkara ini dengan lebih baik.

Tempoh purata untuk prosedur pembedahan standard adalah sekitar 24 minit (antara 15 minit hingga 31 minit), berbanding dengan 7 minit (antara 3 minit hingga 13 minit) dengan penggunaan alat berkhatan. Oleh itu, tinjauan mendapati bahawa menggunakan alat khatan dapat menjimatkan masa sebanyak 17 minit berbanding dengan pembedahan sunat biasa.

Mungkin terdapat lebih sedikit kesakitan pada 24 jam pertama pada pesakit yang dikatan menggunakan alat ini berbanding dengan pembedahan khatan biasa. Mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan kesakitan dalam tujuh hari pertama selepas berkhatan bagi pesakit yang dikhatan dengan alat ini berbanding dengan yang dikhatan dengan kaedah pembedahan standard.

Kami mendapati bahawa pesakit lebih berpuas hati (sedikit) ketika dikhatan menggunakan alat berbanding dengan pesakit yang menjalani prosedur sunat pembedahan standard.

Kesimpulan

Secara keseluruhan, tinjauan kami mendapati bahawa alat berkhatan mungkin mendatangkan lebih banyak komplikasi daripada pembedahan biasa, seperti memerlukan antibiotik atau jahitan. Kami juga mendapati bahawa prosedur yang dilakukan dengan alat berkhatan memerlukan masa yang kurang untuk diselesaikan. Pesakit mungkin merasa kurang sakit pada 24 jam pertama setelah prosedur berkhatan menggunakan alat berbanding dengan pembedahan biasa. Pesakit mungkin lebih suka penggunaan alat khatan berbanding pembedahan biasa. Apabila memikirkan sama ada akan menggunakan alat khatan atau tidak, hasil pemerhatian ini harus diambil kira dengan pertimbangan konteks tempatan seperti biaya dan akses kepada pekerja kesihatan terlatih dalam lingkungan penjagaan kesihatan yang berbeza. Kajian lebih lanjut dapat membantu kita memahami manfaat dan kemudaratan dengan lebih tepat, terutama mengenai komplikasi dan kesakitan selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information