Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai kesan dihydrocodeine (DHC) untuk mengurangkan penggunaan bahan haram dalam kalangan remaja berumur lebih daripada 15 tahun dan orang dewasa.
Latar belakang
Penggunaan bahan haram seperti heroin adalah masalah seluruh dunia, dan boleh membawa kepada isu lain. Apa yang paling membimbangkan ialah kesan kesihatan yang meluas akibat penggunaan bahan ini. Ini termasuk bilangan kematian yang tinggi disebabkan oleh heroin dan opiate yang lain akibat terlebih dos, dan hakikat bahawa ia adalah faktor risiko untuk Hepatitis C dan HIV, terutamanya dalam kalangan mereka yang menyuntik dadah mereka.
Kami mahu mengketahui jika DHC mempunyai kesan yang positif dalam pengurangan penggunaan dadah jenis ini dalam kalangan remaja dan orang dewasa. DHC adalah sejenis opiat yang berasaskan codeine.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.
Ciri-ciri kajian
Kami melibatkan tiga kajian dalam ulasan ini dengan sejumlah 385 peserta dengan tempoh susulan yang berbeza. Dua kajian dengan 150 peserta membandingkan DHC dengan buprenorfin untuk detoksifikasi (menguruskan gejala fizikal pengeluaran), manakala satu kajian dengan 235 individu membandingkan DHC dengan metadon untuk terapi penggantian pengekalan (menyediakan bahan yang mengurangkan kelakuan berisiko dan kemudaratan lain yang berkaitan dengan penggunaan dadah dalam tempoh yang lama). Semua kajian dijalankan di UK.
Hasil utama kami adalah pantang atau tidak lagi menggunakan bahan yang tidak dibenarkan; hasil sekunder kami adalah telah melengkapkan rawatan, serta kesan kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan bahan dan tingkah laku lain yang sering dikaitkan dengan penggunaan bahan seperti aktiviti haram. Kami juga menilai keselamatan DHC.
Keputusan utama
Untuk detoksifikasi daripada bahan haram seperti heroin, DHC mungkin tidak berkesan dengan lebih baik berbanding buprenorfin dalam mengurangkan penggunaan bahan, menjaga individu dalam rawatan dan tingkah laku yang lain. Corak ini kekal sama untuk rawatan susulan.
Untuk rawatan pengekalan, DHC juga tidak memberi kesan yang lebih baik berbanding metadon dalam mengurangkan penggunaan bahan atau mana-mana hasil sekunder, tetapi peserta mungkin lebih cenderung untuk berada dalam rawatan. Penemuan ini kekal sama dengan tempoh susulan yang lebih lama juga.
Satu-satunya kesan buruk yang dilaporkan adalah satu kematian dari terlebih dos metadon dalam kajian yang membandingkan antara DHC dengan metadon sebagai terapi pengekalan.
Corak keputusan menunjukkan bahawa individu yang menerima DHC secara amnya tidaklah lebih baik dalam mengurangkan penggunaan bahan mereka, melengkapkan rawatan atau langkah lain membabitkan tingkah laku yang berkaitan dengan bahan berbanding dengan mereka yang menerima ubat-ubatan jenis lain. Walau bagaimanapun, ia adalah terlalu awal untuk membuat kenyataan muktamad tentang keberkesanan DHC untuk mengurangkan penggunaan bahan haram, disebabkan oleh kualiti yang rendah bukti.
Kualiti bukti
Secara keseluruhan, bukti adalah berkualiti rendah. Terdapat dua isu utama dalam seluruh kajian. Tidak ada pembutaan untuk para peserta atau mereka yang menilai hasil, maka mereka sedar akan kumpulan mereka. Terdapat juga ramai peserta yang keluar daripada dua kajian tersebut.
Sumber pembiayaan kajian
Ketiga-tiga kajian telah dibiayai oleh pertubuhan kerajaan atau yayasan penyelidikan.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (shazlin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my