Pendidikan asma untuk staf sekolah

Latar belakang kepada soalan

Guru-guru dan staf sekolah perlu tahu bagaimana menguruskan asma di sekolah. Jika mereka ada kurang pengetahuan tentang asma, mereka mungkin tidak tahu cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak dengan asma, atau mungkin gagal untuk bertindak jika berlaku serangan serius. Kami berhasrat untuk menilai kemungkinan manfaat atau mudarat pendidikan asma untuk staf sekolah, dan meninjau bagaimana pendidikan ini dapat disampaikan dengan baik.

Ciri kajian

Kami mendapati lima kajian yang melibatkan lebih 100 buah sekolah yang membandingkan program pendidikan asma untuk staf sekolah berbanding kawalan. Para penyelidik mengukur hasil untuk guru-guru dan staf, juga untuk kanak-kanak atau ibubapa, kerapkali dari 1 hingga 12 bulan. Kami membuat carian kajian terkini pada 29 November 2016.

Keputusan utama

Kami tidak dapat menyatakan sama ada mendidik staf sekolah dapat mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memerlukan rawatan Jabatan Kecemasan (ED) atau hospital, dan tiada kajian melaporkan sebarang kematian. Para penulis kajian mengukur kawalan asma dengan pelbagai cara namun mendapat sedikit manfaat, terutama lebih dari setahun selepas intervensi diberikan.

Sekolah-sekolah yang menerima pendidikan asma mematuhi polisi asma dengan lebih baik dan staf lebih bersedia; lebih banyak sekolah-sekolah yang telah menerima latihan asma mempunyai polisi bertulis berbanding dengan sekolah-sekolah kawalan, lebih banyak sekolah intervensi menunjukkan penambahbaikan dalam langkah yang diambil untuk mencegah atau mengurus serangan asma yang berlaku akibat senaman dan lebih ramai staf sekolah-sekolah intervensi merasa mereka dapat memberi salbutamol menggunakan peruang.

Kami ingin menilai kandungan sesi pendidikan dan bagaimana cara terbaik untuk ia disampaikan, tetapi kami tidak mendapat cukup maklumat untuk berbuat demikian.

Sebagai rumusan, pendidikan asma untuk staf sekolah meningkatkan pengetahuan asma dan kesediaan di sekolah, tetapi kami tidak tahu berapa banyak manfaat sebenar pendidikan untuk kanak-kanak dengan asma.

Kualiti bukti

Bilangan kajian yang kecil dan kepelbagaian di antara kajian bermaksud kami tidak pasti kesan keseluruhan mendidik staf sekolah tentang asma. Cara para penyelidik mengagihkan sekolah, guru-guru dan kanak-kanak kepada kumpulan-kumpulan mungkin menyebabkan bias. Juga, sama ada para guru mengetahui mereka dalam kumpulan aktif atau kumpulan kawalan mungkin mempengaruhi bagaimana mereka bersikap dan menjawab soal selidik, dan ini mungkin membawa kepada anggaran berlebihan manfaat. Ramai orang yang dimasukkan ke dalam kajian tidak memulangkan borang soal selidik di akhir kajian, ini bermakna kami tidak mendapat gambaran penuh keputusan intervensi pendidikan asma.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information