Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan ulasann Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada nutrisi tambahan oral boleh membantu orang yang sedang dirawat untuk penyakit Kala-Azar (VL). Kami cuba mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang berkaitan yang menjawab soalan ini.
Mesej-mesej utama
Kami mendapati tiada kajian, sama ada selesai atau berterusan, yang menjawab soalan ulasan kami. Oleh itu, bukti kualiti yang baik terhadap kesan nutrisi tambahan oral pada orang yang sedang dirawat dengan terapi ubat anti leishmanial diperlukan. Bukti ini boleh diperolehi jika kajian klinikal rawak yang besar yang dilakukan dengan baik.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
VL, juga dikenali sebagai kala-azar, adalah jangkitan yang mempunyai pengedaran di seluruh dunia. Ia boleh mengakibatkan kematian jika tidak dirawat. Malnutrisi dan VL adalah masalah kesihatan yang saling berkaitan. Di satu pihak, malnutrisi dapat mempercepatkan perkembangan jangkitan, sementara di sisi lain, VL memperburuk status malnutrisi individu. Juga, jika seseorang yang mengalami malnutrisi, dia tidak akan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan untuk leishmaniasis. Disebabkan VL kerap menjejaskan orang yang tinggal di negara-negara miskin, dengan akses terhad kepada diet yang optimum, memberikan nutrien tambahan kepada orang yang menerima rawatan untuk VL boleh meningkatkan nutrisi mereka, dan dengan itu, kesihatan mereka.
Kami mencari kajian yang menilai kesan pemberian sebarang nutrisi tambahan oral, berbanding dengan plasebo, nasihat pemakanan, atau tiada intervensi nutrisi, pada orang yang sedang dirawat untuk VL.
Apakah hasil utama ulasan ini?
Kami mendapati tiada kajian, sama ada selesai atau berterusan, yang menjawab soalan ulasan kami. Oleh itu, tiada bukti yang berkualiti tinggi daripada kajian untuk memberitahu penjagaan kesihatan professional mengenai kesan nutrisi tambahan oral pada orang yang sedang dirawat untuk VL.
Ketiadaan bukti ini tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti yang nutrisi tambahan tidak memberi kesan kepada orang yang menjalani rawatan VL. Ini bermakna kita tidak mengenal pasti sebarang penyelidikan yang layak untuk ulasan ini, dan bahawa kesan nutrisi tambahan oral belum ditentukan oleh kajian yang ketat.
Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 12 September 2017.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Dr Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.