Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui jika latihan senaman berbanding tanpa latihan senaman selepas pemindahan jantung memberi kesan kepada jumlah kematian, kemasukan ke hospital, kemudaratan, kapasiti senaman, kualiti kehidupan berkaitan dengan kesihatan, kembali ke kerja, dan kos.
Latar belakang
Pemindahan jantung dianggap sebagai rawatan yang terbaik bagi sebahagian orang dengan panyakit jantung yang terapi perubatan tidak dapat menghentikan perkembangan penyakit mereka. Garis panduan amalan klinikal mengesyorkan latihan senaman untuk orang yang menerima pemindahan jantung, walaupun maklumat yang terhad mengenai manfaat atau kemudaratannya dalam jangka masa panjang.
Tarikh carian
Kami mencari kajian sehingga Jun 2016.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian terkawal rawak (eksperimen yang mengagihkan peserta kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang mengkaji keberkesanan program pemulihan berasaskan senaman berbanding tanpa senaman, atau senaman yang berlainan jenis atau intensiti, dalam kalangan orang berusia yang 18 tahun atau lebih, yang merupakan penerima pemindahan jantung.
Keputusan utama
Kami menyertakan 10 kajian yang mengkaji 300 orang penerima pemindahan jantung. Sembilan kajian membandingkan senaman dengan tanpa senaman; satu kajian membandingkan latihan jeda berintensiti tinggi dengan senaman berintensiti sederhana yang berterusan.
Kami mendapati pemulihan jantung berasaskan senaman menyebabkan peningkatan kapasiti senaman penerima pemindahan jantung berbanding tidak menjalankan senaman. Terdapat bukti kapasiti senaman yang lebih baik selepas latihan jeda berintensiti tinggi berbanding senaman berintensiti sederhana yang berterusan. Empat kajian melaporkan kualiti kehidupan berkaitan dengan kesihatan, tetapi tiada bukti adanya perbezaan antara latihan senaman dan tanpa latihan senaman dalam kebanyakan (18/21) aspek yang dilaporkan, atau di antara senaman berintensiti tinggi dan sederhana.
Satu kesan buruk telah dilaporkan dalam satu kajian.
Risiko bias dalam kajian yang disertakan dinilaikan sebagai rendah atau tidak jelas; kekurangan laporan menyebabkan penilaian bagi lebih separuh kajian yang disertakan mencabar.
Sumber-sumber dana kajian
Enam (daripada 10) kajian melaporkan sumber-sumber dana mereka. Tiada yang melaporkan dana daripada agensi-agensi dengan kepentingan komersial terhadap keputusan kajian.
Kualiti bukti
Laporan yang lemah atau kekurangan peserta dalam analisis membawa kepada kualiti bukti dinilai sebagai sederhana bagi kedua-dua kapasiti senaman dan kualiti kehidupan berkaitan kesihatan. Bukti mencadangkan pemulihan jantung berasaskan senaman meningkatkan kapasiti senaman, dan senaman tidak mempunyai impak ke atas kualiti kehidupan berasaskan kesihatan dalam jangka masa pendek (median 12 minggu susulan), dalam penerima pemindahan jantung dengan kesihatan yang stabil. Kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk memantapkan impak jangka masa panjang pemulihan berasaskan senaman ke atas aspek-aspek penting seperti risiko kematian dan kemasukan ke hospital.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my