Mesej-mesej utama
- Tambahan kalsium mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam pengurangan berat badan secara keseluruhan dalam orang dengan berat badan berlebihan, atau obesiti, dibandingkan kepada tambahan kalsium palsu (seperti plasebo).
- Tambahan kalsium mungkin membawa kepada pengurangan kecil dalam indeks jisim badan (BMI) dan ukur lilit pinggang.
- Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk memberikan pandangan yang lebih jelas tentang hubungan antara tambahan kalsium dan berat badan.
Apakah obesiti?
Berat badan berlebihan dan obesiti ditakrifkan sebagai pengumpulan lemak berlebihan yang mendatangkan risiko kepada kesihatan. Indeks jisim badan (BMI) lebih 25 dianggap sebagai berat badan berlebihan, dan lebih 30 sebagai obes. Orang dengan berat badan berlebihan dan obesiti mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mempunyai tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular, dan diabetes. Obesiti adalah kebimbangan kesihatan global yang ketara.
Apakah tambahan kalsium?
Kalsium adalah mineral yang diperlukan oleh badan untuk membina dan mengekalkan tulang yang kuat dan menjalankan fungsi penting yang lain. Tambahan kalsium termasuk mengambil kalsium melalui oral, seperti tablet atau makanan dan minuman yang ditambah dengan kalsium.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sekiranya tambahan kalsium atau makanan yang diperkaya dengan kalsium membantu orang dengan berat badan berlebihan atau obesiti untuk mengurangkan berat. Kami juga ingin mengetahui sama ada tambahan kalsium adalah berkaitan dengan sebarang kesan-kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami telah buat?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat tentang kesan tambahan kalsium dalam orang dengan berat badan berlebihan, dan obesiti. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menemui 18 kajian yang melibatkan 1873 peserta. Semua kajian telah memberikan peserta tablet kalsium yang berbeza dos. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai makanan atau minuman yang diperkaya dengan kalsium. Kajian-kajian telah menyertakan orang dewasa dari 18 hingga 80 tahun. Sepuluh daripada 18 kajian menyertakan hanya wanita, dan dalam semua kajian, kebanyakan peserta adalah perempuan. Lapan kajian telah dijalankan di Amerika, enam di Iran, setiap satu di Brazil, China, dan Puerto Rico, dan satu kajian telah dijalankan dalam pusat-pusat di Argentina, Zimbabwe, dan Afrika Selatan.
- Hasil penemuan kami mencadangkan bahawa tambahan kalsium mungkin mempunyai sedikit sehingga tiada kesan dalam pengurangan berat badan keseluruhan, berbanding dengan yang tidak mengambil suplemen.
- Tambahan kasium mungkin membawa kepada sedikit pengurangan dalam indeks jisim badan (atau BMI, satu sukatan ketebalan lemak berdasarkan ketinggian dan berat yang digunakan untuk lelaki dan perempuan dewasa) dan ukur lilit pinggang.
- Tambahan kalsium mungkin menyebabkan sedikit pengurangan dalam jisim lemak badan (yang dikenali sebagai ‘lemak simpanan’. Badan menggunakannya untuk tenaga, ia menebatkan badan anda, mengelilingi organ anda, dan ia hanya berada di bawah kulit anda.
Hanya lima kajian yang telah menyiasat sekiranya tambahan kalsium mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini. Hasil keputusan daripada kajian ini mencadangkan bahawa terdapat beberapa kesan yang tidak diingini, dengan tiada perbezaan ketara antara mereka yang diberikan tambahan kalsium dengan mereka yang tidak diberikan. Tiada sebarang kajian yang telah disertakan yang menilai tiga daripada hasil ulasan: kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan peserta, kematian disebabkan sebarang akibat, atau penyakit dan komplikasinya.
Apakah batasan bukti?
Secara keseluruhannya, kami mempunyai sedikit keyakinan dalam bukti disebabkan saiz kebanyakan kajian yang kecil, variasi dalam keputusan dalam kajian, dan kekurangan kejelasan dalam melaporkan sesetengah aspek, seperti cara peserta diperuntukkan kepada kumpulan dalam sesetengah kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 10 Mei 2023.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).