Terapi antitrombotik untuk mencegah penurunan kognitif pada orang yang mempunyai penyakit saluran kecil pada pengimejan neuro tetapi tanpa demensia

Latar belakang

Gangguan aliran darah ke otak boleh menyebabkan masalah daya ingatan dan pemikiran. Dalam keadaan yang dipanggil ‘penyakit saluran kecil serebral’, terdapat kerosakan pada saluran darah terkecil yang menjalar jauh di dalam otak. Kerosakan ini boleh menyebabkan strok tetapi boleh juga dilihat dalam imbasan otak orang yang tidak mempunyai gejala strok yang jelas. Penyakit saluran kecil serebral selalunya menjadi lebih teruk dari masa ke semasa, dan dalam sesetengah orang boleh menyebabkan kemerosotan daya ingatan dan pemikiran. Jika penurunan ini menjadi cukup teruk sehingga menjejaskan keupayaan seseorang untuk menguruskan aktiviti harian mereka sendiri, maka ia diterangkan sebagai sejenis demensia vaskular. Kami tahu bahawa ubat pencair darah seperti aspirin boleh mencegah strok. Kami ingin tahu sama ada ubat pencair darah boleh juga menghalang kemerosotan daya ingatan dan pemikiran yang dilihat dalam penyakit saluran kecil serebral.

Soalan ulasan

Adakah ubat pencair darah berkesan dan selamat dalam mencegah kemerosotan daya ingatan dan pemikiran penghidap penyakit saluran kecil serebral?

Apa yang kami lakukan

Kami meneliti penulisan perubatan sehingga 21 Julai 2021 mencari kajian yang membandingkan antara ubat pencair darah yang diberikan selama sekurang-kurangnya 24 minggu dengan pembanding, yang boleh jadi sama ada penjagaan biasa atau tablet plasebo (palsu). Untuk membuat perbandingan yang adil, kajian perlu membahagikan orang secara rawak untuk ubat pencair darah dengan rawatan pembanding. Kami berminat dengan kesan ke atas prestasi peserta dalam ujian daya ingatan dan pemikiran, keupayaan mereka untuk menjaga diri sendiri, risiko untuk mengalami demensia dan strok, dan kesan sampingan (terutamanya daripada pendarahan). Oleh sebab kajian sangat berbeza antara satu sama lain dari segi jenis peserta, ubat-ubatan dan penilaian, kami tidak dapat menggabungkan keputusan dalam analisis. Sebaliknya, kami menerangkan hasil kajian individu dan menilai sejauh mana keyakinan kami terhadap penemuan mereka.

Apa yang kami temui

Kami menyertakan tiga kajian dengan 3384 orang peserta. Kajian ini sangat berbeza dari segi peserta (sesetengahnya menghidap dan sesetengah yang lain tanpa strok), ubat-ubatan yang dikaji (penggunaan ubat pencair darah secara tunggal dan gabungan), dan cara mengukur kesan ke atas ingatan dan pemikiran (ujian berbeza digunakan untuk penilaian) . Tiada kajian yang konsisten menunjukkan peningkatan dalam prestasi ujian daya ingatan dan pemikiran atau dalam aktiviti harian. Tiada kajian menilai suatu diagnosis baru demensia. Terdapat saranan yang ubat pencair darah mungkin menyebabkan peningkatan risiko pendarahan, termasuk pendarahan gastrousus, tetapi bilangannya terlalu kecil untuk dipastikan bahawa ini bukan sekadar perbezaan yang kebetulan. Secara keseluruhan, kami menganggap bahawa kualiti bukti adalah lemah untuk menjawab soalan ulasan kami mengenai daya ingatan dan pemikiran. Banyak maklumat yang kami perlukan tidak dilaporkan. Dua daripada tiga kajian adalah kecil, bermakna terdapat ketidakpastian tentang keputusan mereka. Dalam satu-satunya kajian yang melaporkan sebarang manfaat daripada ubat pencair darah, cara ukuran ingatan dan pemikiran yang berbeza tidak semuanya setara antara satu sama lain. Akhir sekali, di mana terdapat peningkatan dalam daya ingatan dan pemikiran, saiz peningkatan ini mungkin terlalu kecil untuk menampakkan perbezaan ketara kepada individu secara realiti.

Kesimpulan

Kami tidak menemui bukti yang meyakinkan bahawa pengambilan ubat pencair darah adalah bermanfaat untuk daya ingatan dan pemikiran orang yang mempunyai penyakit saluran kecil serebral. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang diteliti sangat berbeza antara satu sama lain, dan setiap satu mempunyai batasan mengenai soalan ulasan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Rosalina Wan Rosli (University of Cyberjaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information