Iridotomi untuk memperlambatkan perkembangan kehilangan medan visual pada glaukoma sudut tertutup

Apakah yang kami kaji dalam ulasan ini?

Glaukoma adalah sekumpulan penyakit mata yang menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap saraf optik mata. Jika tidak dirawat, glaukoma boleh menyebabkan kebutaan. Glaukoma sudut tertutup primer ialah sejenis glaukoma yang berlaku apabila saluran saliran ("sudut") di mata tersumbat, seperti singki dengan sesuatu yang menutupi longkang. Sekatan ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan mata, mengakibatkan pengurangan jumlah kawasan di mana objek boleh dilihat dalam penglihatan sisi ('bidang visual').

Iridotomi melibatkan penggunaan laser untuk mencipta lubang pada iris mata, cakera berwarna-warni di sekeliling pupil. Pembukaan ini membolehkan cecair mengalir semula, yang membantu mengawal tekanan mata dan mungkin memperlahankan perkembangan kehilangan medan visual.

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada iridotomi dibandingkan dengan tiada iridotomi boleh memperlambatkan perkembangan (atau peningkatan) kehilangan medan visual pada (1) orang dengan glaukoma sudut tertutup primer, (2) orang dengan sudut tertutup primer, dan (3) orang yang disyaki mengalami sudut-tertutup primer.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Kami mengumpul dan menganalisis semua ujian klinikal yang berkaitan dan mengenal pasti empat kajian yang layak (3086 mata daripada 1543 peserta) membandingkan iridotomi tanpa iridotomi yang menangani soalan ulasan kami.

Empat kajian termasuk mengambil peserta dari China, Singapura, atau UK yang disyaki mempunyai penutupan sudut utama. Satu mata setiap peserta menerima iridotomi dan mata yang satu lagi tidak menerima iridotomi.

Dua kajian besar mendapati bahawa mata yang dirawat dengan iridotomi berkemungkinan mempunyai sudut yang lebih luas pada satu tahun dan lima tahun selepas rawatan, dan mempunyai kurang parut pada saluran saliran, yang mungkin mengurangkan aliran keluar aqueous humor (cecair jernih di dalam bahagian depan mata), berbanding mata yang tidak menerima iridotomi pada lima tahun. Bukti untuk kesan iridotomi pada saluran saliran pada satu tahun adalah tidak pasti. Keyakinan kami terhadap bukti tekanan mata dan ketajaman penglihatan hanya sederhana kerana kebimbangan mengenai reka bentuk kajian. Kesan yang tidak diingini yang berkaitan dengan rawatan, walaupun jarang berlaku, nampaknya lebih biasa pada mata yang dirawat iridotomi berbanding mata yang tidak dirawat.

Tiada kajian yang mengukur:

• bagaimana medan visual terjejas;

• bilangan ubat yang diperlukan untuk mengawal tekanan mata; atau

• kesejahteraan (kualiti hidup) orang.

Mesej utama

(1) Iridotomi mungkin mengubah struktur dalaman mata (contohnya sudut yang lebih luas) pada orang yang berisiko tinggi mengalami penutupan sudut primer. Walau bagaimanapun, kesan iridotomi pada tekanan mata dan penglihatan adalah terhad. Tiada bukti mengenai perubahan medan visual, kerana tiada kajian yang disertakan melaporkan hasil ini.

(2) Kajian yang disertakan hanya melihat orang yang disyaki mempunyai penutupan sudut primer. Tiada bukti tersedia untuk populasi lain.

Sejauh mana ulasan ini terkini?

Penyelidik mencari kajian yang diterbitkan sehingga 10 Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information