Soalan ulasan
Adakah penambahan asid amino rantaian bercabang (BCAAs) meningkatkan perkembangan fizikal dan neurologi dan hasil kesihatan lain pada neonat cukup bulan dan pramatang?
Latar belakang
Walaupun leusina, isoleusina dan valina - sekumpulan asid amino penting - memainkan peranan penting dalam pemakanan neonatal, dos yang optimum masih belum diketahui. Neonat biasanya mendapatkan BCAA dari susu ibu dan formula buatan, dan mereka yang dirawat di hospital kerana pelbagai masalah, termasuk kelahiran pramatang, asfiksia (kekurangan oksigen) dan jangkitan, boleh mendapatkan BCAA melalui larutan infusi. Pengambilan BCAA yang kurang optimum boleh disebabkan oleh hisapan kurang baik dan juga terapi infusi yang tidak sesuai, yang boleh menyebabkan gangguan pertumbuhan dan neurologi. Oleh itu, kami berusaha untuk mendedahkan sama ada penambahan BCAA dapat meningkatkan hasil kesihatan pada neonat cukup bulan dan pramatang.
Ciri-ciri kajian
Kami tidak menemui percubaan terkawal secara rawak yang memenuhi syarat yang menilai kesan penambahan BCAA untuk neonat cukup bulan dan pramatang. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2019.
Keputusan utama dan kesimpulan
Ulasan ini tidak dapat mencadangkan kesan penambahan BCAA terhadap pertumbuhan fizikal dan perkembangan neurologi pada neonat cukup bulan dan pramatang. Kajian pada masa depan adalah diperlukan kerana penilaian ini sangat penting dalam bidang neonatal.
Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my