Intervensi latihan senaman untuk orang dengan kanser semasa rawatan kanser sebelum atau selepas pembedahan.

Latar belakang
Orang yang didiagnosis dengan kanser selalunya menjalani rawatan intensif dengan harapan untuk sembuh. Rawatan tersebut termasuklah pembedahan, kemoterapi dan kemoradioterapi yang sering diberi dalam kombinasi. Rawatan-rawatan tersebut boleh mengakibatkan kesan-kesan sampingan (kesan-kesan buruk), misalnya rasa kurang cergas dan lebih letih dan kualiti hidup yang berkurangan. Kesan-kesan sampingan tersebut boleh dicegah, atau dikurangkan jika mereka menjalankan program latihan senaman dalam tempoh rawatan kanser. Pada masa lalu, orang dengankanser digalakkan berehat, namun cadangan terkini menggalakkan mereka kekal aktif seboleh mungkin.

Soalan ulasan
Dalam kalangan pesakit-pesakit dewasa yang menjalani pembedahan kanser, apakah impak latihan senaman berbanding penjagaan biasa dari segi kecergasan, keselamatan, kualiti hidup, keletihan dan hasil-hasil klinikal?

Keputusan-keputusan utama
Kami memasukkan 11 kajian melibatkan 1067 peserta, yang diterbitkan sehingga Oktober 2018. Kebanyakan peserta (73%) menerima rawatan kanser payu dara. Peserta-peserta dibahagikan kepada kumpulan yang menerima program senaman dan penjagaan biasa (tanpa latihan senaman) secara rawak. Kajian-kajian yang dimasukkan mencadangkan latihan senaman mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada tahap kecergasan fizikal. Kajian-kajian yang dimasukkan juga menunjukkan adalah selamat untuk bersenam kerana bilangan kesan buruk adalah rendah. Penemuan-penemuan juga menunjukkan latihan senaman memberi sedikit atau tida perbezaan dalam kualiti hidup, tetapi mungkin mengurangkan keletihan. Kami tidak tahu sama ada ia memperbaiki pemulihan postoperatif kerana tiada kajian yang melaporkannya.

Kualiti bukti
Kualiti bukti keseluruhan adalah sederhana hingga sangat rendah untuk semua khasil, kerana bilangan kajian yang kecil dan bilangan peserta yang rendah serta batasan-batasan kajian.

Kesimpulan
Penemuan ulasan ini haruslah ditafsir dengan berhati-hati kerana bukti keseluruhan yang rendah, pelbagai jenis kanser dan rawatan kanser, intervensi senaman serta ukuran hasil kajian. Kami sederhana yakin latihan senaman dalam tempoh rawatan adjuvan (kemoterapi atau radioterapi selepas pembedahan) mengurangkan keletihan.

Ini adalah bidang penyelidikan yang baharu dan lebih banyak maklumat diperlukan untuk membantu kami memahami manfaat senaman dalam kalangan orang yang menjalani rawatan kanser. Kajian-kajian masa hadapan haruslah menumpukan perhatian kepada pesakit-pesakit kanser baharu yang menjalani kemoterapi ataupun radioterapi sebelum pembedahan (juga dikenali sebagai rawatan neoadjuvan), untuk mengetahui sama ada latihan senaman sebelum pembedahan adalah penting.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information