Nyanyian untuk COPD

Nyanyian menggunakan paru-paru untuk menyediakan aliran udara bagi menghasilkan kata-kata muzikal atau bunyi dengan suara. Nyanyian memerlukan banyak usaha untuk kontraksi otot dan koordinasi. Ini boleh memanfaatkan orang dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dengan cara yang serupa dengan senaman nafas. Nyanyian dikatakan bermanfaat untuk kesihatan tetapi kami memerlukan bukti sebelum ia boleh disyorkan khusus untuk menangani keadaan-keadaan kesihatan. Kami merancang untuk memeriksa sama ada nyanyian mempunyai kesan terhadap kualiti hidup atau sesak nafas dalam kalangan orang dengan COPD. Kami memasukkan tiga kajian dengan sejumlah 112 peserta. Para peserta secara rawak ditugaskan untuk latihan nyanyian atau kepada kumpulan kawalan bukan nyanyian. Kumpulan kawalan adalah sama ada bengkel filem, kerja kraftangan, atau tiada apa-apa. Nyanyian dilakukan dalam kumpulan, sekali hingga dua kali seminggu selama satu jam, untuk sekurang-kurangnya enam minggu. Terdapat kepelbagaian dalam hasil kajian dan kami tidak dapat menggabungkan banyak hasil dalam metaanalisis. Metaanalisis adalah analisis statistik yang menggabungkan keputusan dua atau lebih kajian berasingan untuk memberi keputusan terkumpul. Sesetengah kajian menunjukkan penambahbaikan dalam beberapa aspek kualiti hidup, sementara yang lain tidak menunjukkan penambahbaikan. Sesak nafas hanya diukur dalam satu kajian dan tidak terdapat penambahbaikan. Kajian-kajian itu tidak melaporkan sama ada sebarang kesan berlaku untuk masa yang lama selepas latihan nyanyian selesai. Tiada kajian melaporkan sebarang kesan sampingan dari nyanyian, jadi nyanyian dilihat selamat untuk orang dengan COPD. Kajian-kajian adalah berkualiti rendah kerana jumlah peserta yang kecil dan ketiadaan maklumat mengenai kaedah dan beberapa hasil. Kami tidak dapat mencari bukti yang cukup untuk menentukan kesan nyanyian dalam kalangan orang dengan COPD. Lebih banyak kajian diperlukan dan ia harus menumpu untuk mendaftarkan bilangan orang yang lebih besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information