Dos ubat opioid yang tinggi untuk pengurusan sakit kronik bukan kanser

Pokoknya

Tiada bukti berkualiti tinggi untuk menunjukkan bagaimana dos opioid tinggi berfungsi, atau apakah kesan sampingan yang timbul apabila ia diguna untuk orang dewasa dengan sakit kronik yang bukan disebabkan oleh kanser.

Kajian-kajian biasanya mengguna dos di bawah paras pemutus. Kami perlu tahu bagaimana ubat opioid dos tinggi berfungsi untuk sakit kronik bukan kanser, dan apakah kesan sampingan yang mungkin.

Latar belakang

Opioid adalah sejenis ubat sakit yang berkait dengan morfin. Opioid telah diguna bertahun-tahun sebagai ubat penahan sakit untuk sakit kronik sederhana atau teruk, iaitu sakit yang berlarutan untuk jangka masa lama (biasanya lebih daripada tiga bulan).

Ciri-ciri kajian

Dalam gambaran keseluruhan kemas kini ini, kami ingin meringkaskan pengetahuan daripada Ulasan Cochrane dan gambaran keseluruhan tentang ubat opioid untuk melegakan sakit dalam kalangan dewasa dengan sakit kronik bukan akibat kanser. Kami ingin tahu bagaimana ubat opioid berfungsi apabila ia diguna pada dos tinggi (bersamaan dengan 200 mg morfin sehari atau lebih), dan apakah kesan sampingan yang mungkin.

Keputusan utama

Walaupun carian sistematik terkini dijalankan pada Julai 2022, kami tidak menemui sebarang maklumat mengenai perkara ini. Kajian opioid jarang melaporkan penggunaan dos tinggi. Apabila disertakan sebagai sebahagian daripada kajian orang yang mengguna semua paras dos, mereka tidak melaporkan maklumat berasingan pengguna opioid dos tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information