Adakah radioterapi medan diperluas mengurangkan kematian akibat kanser serviks lanjutan setempat dan apakah kesan sampingannya?

Isunya
Radioterapi (RT) ke pelvis digunakan untuk merawat kanser serviks. Walau bagaimanapun, RT pelvis tidak akan merawat kanser yang telah merebak ke nodus limfa para-aorta (nodus limfa yang terletak di sepanjang saluran darah utama di bahagian tengah dan atas perut), kerana ini berada di luar kawasan sasaran (medan) RT. RT medan diperluas menyasarkan kawasan yang mengandungi kedua-dua nodus limfa pelvis dan para-aorta. Meluaskan medan RT untuk memasukkan kawasan para-aorta mungkin mengurangkan risiko kanser kembali.

Kemoterapi kini biasanya diberikan pada masa yang sama dengan RT untuk rawatan kanser serviks (kemoterapi serentak) dan rawatan gabungan ini dipanggil kemoradioterapi (CRT). Ini merupakan rawatan standard pada masa kini kerana kajian telah menunjukkan bahawa penambahan kemoterapi semasa RT meningkatkan kelangsungan hidup wanita yang menghidap kanser serviks yang dianggap terhad kepada pelvis. Kajian lama, yang membandingkan rawatan dengan RT pelvis sahaja, pada masa kini tidak dianggap sebagai standard penjagaan untuk wanita yang cukup sihat mendapatkan CRT. Kami tidak boleh menganggap bahawa keputusan daripada kajian yang membandingkan RT medan diperluas dengan RT pelvis digunakan untuk rawatan CRT moden.

Tujuan ulasan ini
Pada wanita dengan kanser serviks lanjutan setempat, adakah meluaskan medan RT untuk meliputi kawasan para-aorta mengurangkan risiko kematian akibat kanser serviks dan apakah kemudaratannya?

Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data dari mula hingga Ogos 2018 dan menemui lima kajian yang memenuhi kriteria kemasukan. Tiga kajian membandingkan RT medan diperluas dengan RT pelvis. Tiada satu pun daripada tiga kajian ini membandingkan RT medan diperluas dengan standard utama semasa CRT pelvis. Satu kajian membandingkan RT medan diperluas dengan CRT pelvis dan satu kajian membandingkan CRT medan diperluas dengan CRT pelvis.

Apakah penemuan utama?
Berbanding dengan RT pelvis sahaja, wanita yang diberi RT medan diperluas mungkin kurang berkemungkinan untuk mati dan barangkali kurang berkemungkinan untuk mendapat kanser serviks kembali (berulang) dalam nodus limfa para-aorta. Walau bagaimanapun, RT medan diperluas mungkin mempunyai sedikit atau tiada perbezaan pada kekerapan kanser mereka berulang di tempat lain dan kekerapan mereka mengalami kesan sampingan yang teruk.

CRT pelvis adalah standard rawatan moden untuk kanser serviks lanjutan setempat. Dalam satu perbandingan RT medan diperluas sahaja dengan CRT pelvis, wanita yang diberi CRT pelvis barangkali kurang berkemungkinan untuk mati atau mengalami kanser berulang. Wanita yang diberi RT medan diperluas sahaja mungkin kurang berkemungkinan untuk mengalami pengulangan dalam nodus limfa para-aorta dan mengalami kejadian mudarat semasa atau sejurus selepas rawatan. Tiada perbezaan yang jelas mengenai kejadian mudarat lewat antara kedua-dua kumpulan.

Wanita yang diberi CRT medan diperluas mungkin atau tidak kurang berkemungkinan untuk mati atau mengalami perkembangan kanser berbanding wanita yang menerima CRT pelvis. Tidak terdapat perbezaan yang jelas dalam peluang untuk mengalami kanser berulang dalam nodus limfa para-aorta dan kesan sampingan yang teruk antara kumpulan.

Kepastian bukti
Bukti untuk hasil dalam perbandingan RT medan diperluas sahaja berbanding RT pelvis sahaja adalah berkepastian sederhana. Dalam perbandingan RT medan diperluas dengan CRT pelvis, bukti mengenai kelangsungan hidup dan kesan sampingan adalah berkepastian sederhana. Bukti untuk pengulangan para-aortik adalah berkepastian rendah. Bukti untuk semua hasil dalam perbandingan CRT medan diperluas dengan CRT pelvis adalah berkepastian sangat rendah kerana kebimbangan mengenai risiko berat sebelah yang tinggi dan keputusan daripada satu kajian yang melibatkan sangat sedikit wanita.

Apakah kesimpulannya?
Kami agak yakin bahawa, berbanding dengan RT pelvis sahaja, RT medan diperluas mungkin meningkatkan kelangsungan hidup keseluruhan dan mengurangkan risiko pengulangan nodus limfa para-aorta. Walau bagaimanapun, RT pelvis sahaja kini tidak dianggap sebagai penjagaan standard untuk wanita yang cukup sihat untuk menerima CRT, jadi keputusan ini harus disemak dengan waspada dan tidak boleh dipanjangkan kepada teknik rawatan moden.

Bukti berkepastian rendah hingga sederhana menyokong penggunaan CRT pelvis dan bukannya RT medan diperluas sahaja, kerana nampaknya CRT pelvis mengurangkan risiko kematian dan perkembangan kanser. Kemungkinan mengalami kesan sampingan yang tidak diingini semasa rawatan adalah lebih tinggi dalam kalangan wanita yang menerima CRT pelvis berbanding RT medan diperluas. Bukti membandingkan CRT medan diperluas dengan CRT pelvis adalah berkepastian sangat rendah mengenai hasil dan ia mungkin atau tidak meningkatkan kelangsungan hidup.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information