Pembedahan laparoskopik untuk aneurisma aorta abdomen

Latar belakang

Aneurisma aorta abdomen (AAA) adalah pembengkakan tidak normal yang berlaku di aorta abdomen, saluran darah arteri utama yang membekalkan darah ke organ-organ abdomen dan bahagian bawah tubuh badan. Antara 4% hingga 7% lelaki berumur lebih 65 tahun menghidapi AAA, tetapi ia kurang berlaku dalam kalangan wanita. Aneurisma berdiameter lebih 55 mm mempunyai risiko tinggi untuk pecah yang boleh membawa kepada kematian; kira-kira 60% pesakit yang mengalami AAA pecah maut sebelum sampai ke hospital. Pesakit yang mempunyai AAA lebih 55 mm biasanya akan dirujuk untuk pembaikan, kerana risiko untuk ia pecah melebihi risiko pembaikan. Terdapat tiga kaedah untuk membaiki AAA: pembedahan, pembaikan aneurisma endovaskular (EVAR) dan pembaikan laparoskopik. Pembedahan melibatkan belahan besar di bahagian abdomen, seterusnya aorta abdomen didedahkan dan dibuka lalu graf sintetik (tiub) dijahit di tempatnya untuk menggantikan bahagian aorta yang telah lemah. EVAR melibatkan belahan di bahagian pangkal paha, seterusnya graf sten dimasukkan dalam bentuk berlipat lalu dibuka di dalam aneurisma di bawah bimbingan x-ray dan dipegang di tempatnya dengan sten. Pembaikan laparoskopik atau pembedahan ‘lubang kunci’ AAA dijalankan dengan membuat belahan yang sangat kecil di abdomen pesakit, seterusnya teleskop halus (laparoskop) dimasukkan melalui belahan ini dan graf sintetik dijahit di tempatnya. Kelebihan EVAR dan pembaikan laparoskopik adalah mereka memerlukan belahan yang lebih kecil, kurang menyakitkan, mempunyai kurang komplikasi, kadar kematian yang lebih rendah dah tinggal di hospital dengan lebih singkat berbanding pembedahan. Bukti semasa menyarankan bahawa EVAR adalah pendekatan pilihan untuk pembaikan AAA. Namun pembedahan laparoskopi untuk pembaikan AAA telah disyorkan sebagai alternatif yang selamat dan berkesan untuk merawat pesakit yang tidak sesuai dengan EVAR. Ulasan ini bertujuan untuk menilai kesan-kesan pembedahan laparoskopik untuk aneurisma aorta abdomen.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Satu kajian rawak terkawal (terkini sehingga Ogos 2016), mengkaji 100 peserta lelaki dan membandingkan pembaikan laparoskopi bantuan tangan dengan EVAR, telah disertakan dalam ulasan ini. Tiada kematian di hospital berlaku semasa kajian. Kajian tersebut menunjukkan bahawa pembaikan laparoskopi bantuan tangan mengambil masa yang lebih lama berbanding EVAR tetapi tiada perbezaan dicatatkan dalam bilangan pesakit yang mengalami kekurangan pengaliran darah ke kaki selepas kedua-dua rawatan.

Kualiti bukti

Pada ketika ini, terdapat kekurangan kajian rawak terkawal yang mengkaji dan membandingkan keberkesanan dan keselamatan pembaikan laparoskopik untuk AAA. Kualiti bukti yang ada adalah kurang tepat kerana ia hanya melibatkan satu kajian kecil justeru selang keyakinan yang lebar; dan tidak langsung kerana kajian hanya melibatkan peserta lelaki sahaja.

Kesimpulan

Penyelidikan lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan dapat dibuat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull, UK). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information