Soalan ulasan
Kami telah mengkaji semula bukti untuk kebaikan dan keburukan menggunakan antibiotik untuk sistoskopi (suatu pemeriksaan bahagian dalam pundi kencing) untuk mencegah jangkitan saluran kencing (UTI)
Latar belakang
Sistoskopi boleh menyebabkan UTI. Ini boleh menyebabkan gejala-gejala yang merunsingkan seperti sensasi terbakar ketika kencing disebabkan oleh jangkitan yang terhad kepada pundi kencing, atau demam dan menggigil disebabkan oleh jangkitan yang lebih serius yang telah rebak ke saluran darah, atau gabungan sensasi terbakar, demam serta menggigil. Antibiotik boleh mencegah jangkitan dan mengurangkan gejala-gejala seperti ini tetapi ia juga boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Ia adalah tidak pasti sama ada pesakit patut diberi antibiotik sebelum prosedur ini.
Ciri-ciri kajian
Kami telah menemui 22 kajian yang melibatkan 7711 peserta. Kajian-kajian ini telah diterbitkan dari tahun 1971 sehingga 2017. Dalam kajian-kajian ini, para peserta dipilih secara rawak sama ada mereka menerima antibiotik atau plasebo/tiada rawatan. Bukti adalah terkini sehingga 4 Febuari 2019.
Hasil-hasil utama
Antibiotik yang diberi untuk pencegahan UTI sebelum prosedur sistoskopi berpotensi memberi kesan yang sedikit atau tiada langsung ke atas risiko untuk mendapat jangkitan yang lebih serius yang merebak ke saluran darah.
Mereka berkemungkinan telah mengurangkan risiko jangkitan apabila kedua-dua jangkitan serius yang merebak ke saluran darah dan jangkitan yang terhad ke pundi kencing diambil pada masa yang sama.
Tiada pesakit yang telah termasuk dalam kajian-kajian tersebut mengalami kesan-kesan yang tidak diingini. Justeru itu, kami telah membuat kesimpulan bahawa antibiotik yang telah diberi untuk pencegahan UTI berkemungkinan tidak akan menyebabkan kesan-kesan serius yang tidak diingini tetapi kami tidak pasti dengan penemuan ini.
Antibiotik juga berkemungkinan mempunyai kesan yang sedikit atau tiada langsung ke atas kesan-kesan sampingan kecil yang tidak diingini. Mereka juga mungkin mempunyai kesan yang sedikit atau tiada langsung ke atas jangkitan yang terhad kepada pundi kencing sahaja, tetapi kami sungguh tidak pasti terhadap penemuan ini. Pesakit yang telah dirawat dengan antiobiotik mungkin lebih cenderung untuk mempunyai bakteria yang lebih kebal terhadap antibiotik, tetapi kami sungguh tidak pasti terhadap penemuan ini.
Kualiti bukti
Kami telah menaraf kualiti bukti sebagai rendah atau sangat rendah, bermakna keyakinan kami terhadap hasil-hasil tersebut adalah terhad atau sangat terhad. Kesan antibiotik yang benar terhadap pencegahan UTI sebelum prosedur sistoskopi berkemungkinan agak berbeza dengan hasil yang ditemui oleh ulasan ini.
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nicole@ms.pmc.edu.my