Kesan-kesan latihan senaman bagi orang dewasa penerima paru-paru gantian

Apakah isunya?

Pemindahan paru-paru sering menjadi pilihan rawatan terakhir bagi mereka yang mempunyai penyakit paru-paru kronik. Penerima paru-paru gantian ini dicadangkan supaya menjalani latihan senaman untuk mempercepatkan kadar pemulihan mereka. Perkara ini sepatutnya dapat membantu mereka kembali melakukan aktiviti biasa, disamping meningkatkan kualiti kehidupan. Walau bagaimanapun, manfaat sebenar latihan senaman terhadap pesakit-pesakit ini adalah tidak jelas dan pada masa ini, tiada garis panduan yang jelas bagi mencadangkan bagaimanakah latihan senaman tersebut patut dilakukan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari pengkalan data elektronik dan rekod-rekod kajian-kajian klinikal dan meneliti rujukan-rujukan penyelidikan yang berkaitan dengan topik ini. Tujuan kami adalah untuk mengenal pasti kajian-kajian yang akan membantu kami memahami kesan-kesan latihan senaman bagi orang dewasa yang menerima paru-paru gantian. Kami juga menilai kualiti kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini.

Apa yang kami temui?

Kami menemui lapan kajian yang memenuhi syarat-syarat untuk dimasukkan di dalam ulasan ini. Dua kajian membandingkan antara latihan senaman rintangan dengan penjagaan biasa atau tiada latihan senaman, tiga kajian membandingkan antara latihan senaman rintangan dengan latihan senaman rintangan jenis lain, dua kajian membandingkan antara latihan senaman multimodal (beberapa jenis senaman yang berlainan) dengan penjagaan biasa atau tiada latihan senaman, dan satu kajian membandingkan antara program latihan senaman multimodal yang sama yang dijalankan selama 7 dan 14 minggu.

Malangnya kami sangat tidak pasti mengenai kesan-kesan latihan senaman-senaman di atas di dalam hasil penemuan kami. Walaupun beberapa kajian melaporkan peningkatan pada jarak berjalan dalam tempoh 6 minit (peserta yang mengikuti senaman berbanding dengan tiada senaman, dan program senaman yang berlainan), peningkatan pada kekuatan otot (senaman atau senaman multimodal berbanding tiada senaman) dan peningkatan ketumpatan mineral tulang (senaman berbanding tiada senaman), kebanyakannya melaporkan tiada perbezaan terhadap kesan sampingan, kualiti hidup, fungsi paru-paru, atau risiko kematian.

Kualiti bukti kajian-kajian yang disertakan adalah sangat rendah. Peserta-peserta dan kakitangan kajian tidak dapat dirahsiakan terhadap rawatan yang mereka terima kerana sifat intervensi fizikal dan didapati adanya bias pelaporan yang agak kerap. Selain itu, semua anggaran keputusan adalah kurang tepat disebabkan oleh jumlah peserta yang kecil.

Kesimpulan

Bagi orang dewasa yang menjalani pemindahan paru-paru (penerima paru-paru gantian) bukti mengenai kesan-kesan latihan senaman tidak dapat dipastikan dari segi keupayaan melakukan senaman yang maksimum dan berfungsi, HRQoL dan keselamatan, perkara ini disebabkan oleh penganggaran kesan yang sangat tidak tepat dan risiko bias yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information