Pemberian bius setempat yang berterusan ke bahagian sekitar luka untuk merawat kesakitan selepas reseksi usus melalui pemotongan menegak dalam abdomen

Latar belakang

Pesakit dengan penyakit usus boleh dirawat dengan pembedahan untuk membuang sebahagian daripada usus (reseksi kolorektal). Satu pemotongan menegak yang panjang dalam abdomen (laparotomi garisan tengah) sering diperlukan. Pemulihan selepas pembedahan jenis ini adalah lambat dan menyakitkan. Suntikan bius setempat yang berterusan (membiuskan kawasan badan yang tertentu, misalnya di sekitar luka) boleh mengurangkan kesakitan selepas pembedahan jenis ini. Bius setempat juga boleh mengurangkan keperluan jumlah ubat-ubatan tahan sakit yang menyerupai morfin dan kesan-kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat-ubatan ini. Ini mungkin bermakna tempoh pemulihan yang lebih singkat untuk pesakit dan pelepasan awal dari hospital.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian klinikal hingga Januari 2019 yang melihat manfaat dan kemudaratan suntikan bius setempat yang berterusan selepas pembedahan untuk membuang usus melalui pemotongan menegak dalam abdomen. Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan bius setempat dengan bahan yang tidak aktif (plasebo) seperti air masin (normal saline). Kami mendapati enam kajian klinikal termasuk 541 orang peserta. Kebanyakan peserta berumur 55 hingga 65 tahun, dengan status kesihatan yang pelbagai daripada cergas dan sihat kepada mempunyai penyakit sistemik yang teruk (penyakit yang menjejaskan seluruh tubuh).

Penemuan-penemuan utama

Dalam orang yang menerima bius setempat, sakit sewaktu berehat, sakit pada pergerakan, dan keperluan untuk ubat-ubatan tahan sakit yang menyerupai morfin telah berkurangan pada hari pertama selepas pembedahan berbanding dengan orang yang menerima bahan yang tidak aktif.

Orang yang menerima bius setempat juga membuka usus (membuang air besar) mereka kira-kira setengah hari lebih awal dan dilepaskan dari hospital kira-kira sehari lebih awal berbanding dengan orang yang menerima bahan yang tidak aktif.

Kami tidak menjumpai perbezaan antara orang yang menerima bius setempat dengan mereka yang menerima bahan yang tidak aktif dalam kadar apa-apa komplikasi serius selepas pembedahan sehingga pelepasan dari hospital.

Kepastian bukti-bukti

Kami menilai kepastian bukti-bukti daripada kajian-kajian menggunakan empat tahap: tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah. Sebab-sebab untuk merendahkan kepastian bukti termasuklah masalah keterbatasan dalam reka bentuk kajian, kehilangan data, perbezaan di antara kajian-kajian dan bagaimana hasil-hasil kajian diukur, dan jumlah peserta yang kecil. Kita memerlukan lebih banyak kajian-kajian berkualiti tinggi untuk menilai rawatan ini, terutamanya tentang kesan-kesannya terhadap pemulihan selepas pembedahan, kesan-kesan sampingan dan komplikasi-komplikasinya.

Kami menilai kepastian bukti untuk kesakitan selepas pembedahan sewaktu rehat dan tempoh tinggal di hospital sebagai tinggi, yang bermakna kita sangat yakin dengan penemuan tentang kesan-kesan rawatan ke atas hasil kajian ini. Kami menilai kepastian bukti bagi keperluan untuk ubat-ubatan tahan sakit yang menyerupai morfin dan tempoh masa sehingga pergerakan usus yang pertama sebagai sederhana. Ini bermakna bahawa kita mempunyai tahap keyakinan yang sederhana dalam penemuan tentang kesan-kesan rawatan tersebut terhadap hasil-hasil kajian ini. Kami menilai kepastian bukti untuk kesakitan selepas pembedahan pada pergerakan dan kadar apa-apa komplikasi serius selepas pembedahan sehingga pelepasan hospital sebagai rendah, bermakna bahawa kami mempunyai keyakinan terhad dalam penemuan tentang kesan rawatan pada hasil-hasil kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Faezah Binti Zainudin (RCSI & UCD Malaysia Campus (sebelum ini dikenali sebagai Penang Medical College)). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi faezah@ms.pmc.edu.my

Tools
Information