Selang penyusuan pendek berbanding panjang untuk penyusuan bolus pada bayi yang sangat pramatang

Soalan ulasan

Adakah selang penyusuan yang pendek (contohnya, dua jam atau kurang) lebih baik penerimaannya berbanding selang penyusuan yang lebih panjang (tiga jam atau lebih) bagi aturan penyusuan pada bayi yang sangat pramatang?

Latar belakang

Penyusuan bayi yang sangat pramatang, dilahirkan kurang daripada 32 minggu tempoh kehamilan, adalah satu cabaran yang besar. Mereka mempunyai usus belum matang yang boleh membawa masalah yang pelbagai, daripada ringan (tidak menerima pemakanan) kepada sederhana (muntah susu dari perut) dan teruk (contohnya enterokolitis nekrosis; NEC). NEC merupakan komplikasi berjangkit yang mengakibatkan kerosakan kekal pada bahagian usus. Selang penyusuan, iaitu, selang masa antara satu penyusuan dengan yang berikutnya, mungkin penting tetapi menentukan selang penyusuan yang sesuai merupakan satu cabaran besar. Selang pendek, biasanya kurang daripada tiga jam, dan selang panjang iaitu tiga jam atau lebih kedua-duanya mempunyai risiko tersendiri. Apabila selang masa pendek, jumlah isipadu susu yang lebih kecil boleh diberikan dengan lebih kerap. Bayi mungkin boleh menerima dengan lebih baik jumlah isipadu yang kecil, tetapi usus mereka mungkin tidak mempunyai masa rehat yang cukup antara setiap penyusuan.

Ciri-ciri kajian

Kami membuat carian dalam pangkalan data perubatan sehingga 25 Jun 2020. Kami menemui empat kajian (melibatkan 417 bayi), semuanya dijalankan di negara berpendapatan sederhana. Keempat-empat kajian membandingkan selang penyusuan dua jam dengan tiga jam. Semua kajian melibatkan bayi yang mempunyai berat lahir yang sangat rendah dengan usia kehamilan (masa daripada permulaan haid terakhir wanita) antara 29 hingga 35 minggu.

Keputusan utama

Apabila kami menggabungkan semua keputusan kajian, didapati sedikit atau tiada perbezaan antara selang waktu penyusuan dua- dengan tiga-jam. Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara selang dua- dengan tiga-jam penyusuan dari segi bilangan hari untuk mencapai penyusuan enteral (tiub) sepenuhnya kerana keputusan kajian yang kurang tepat dan terdapat berat sebelah dalam kajian. Bilangan hari yang diambil untuk mendapatkan semula berat lahir, selepas penurunan berat badan awal yang biasa berlaku semasa tempoh awal kelahiran, mungkin sedikit lebih lama dalam bayi yang menerima penyusuan selang dua-jam. Namun kami tidak pasti tentang kepentingan perkara ini. Kami tidak mempunyai data yang mencukupi untuk menentukan sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam mana-mana kesan buruk yang dilaporkan kajian . Namun, disebabkan hanya sebilangan kecil bayi mengalami NEC, kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara kedua-dua kumpulan. Tidak terdapat sebarang maklumat berkenaan kesan selang penyusuan dengan kematian, perkembangan bayi semasa berada di hospital dan hasil perkembangan saraf (perkembangan otak kanak-kanak), dan tiada maklumat tentang selang penyusuan lain seperti selang satu- atau empat-jam. Terdapat satu kajian menunggu untuk dikelaskan kerana kami memerlukan lebih banyak maklumat.

Kualiti bukti

Kualiti bukti dalam ulasan ini adalah rendah. Oleh itu, mungkin tiada perbezaan klinikal yang penting antara selang penyusuan dua- dan tiga-jam.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Salizawati Muhamad Salhimi. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information