Ketepatan 18 F-FDG-PET/CT untuk pengesanan rhabdomyosarcoma metastatik pada pesakit yang baru didiagnos

Mengapakah penentuan tahap rhabdomyosarcoma yang tepat adalah penting?

Rhabdomyosarcoma (RMS) menyumbang 3% hingga 5% daripada semua kanser kanak-kanak. Rawatan terdiri daripada kemoterapi dengan pelbagai ubat dan pembedahan dan/atau radioterapi. Rawatan untuk pesakit baru didiagnos bergantung kepada tahap kanser. Kelangsungan hidup lima tahun untuk pesakit dengan penyakit setempat adalah sekitar 75%, manakala ia di bawah 30% untuk pesakit dengan penyakit yang telah merebak ke bahagian tubuh yang berlainan (penyakit metastatik). Kelangsungan hidup untuk pesakit metastatik bergantung kepada bilangan metastasis serta tempat metastasis. Ia adalah sangat penting untuk menentukan tahap penyakit dengan tepat kerana tidak mengenali pesakit dengan penyakit metastatik akan menyebabkan kekurangan rawatan, manakala salah mengenal pasti lesi sebagai metastatik akan menyebabkan rawatan berlebihan. 18 F-FDG-PET/CT ialah teknik pengimejan khas yang boleh membantu dalam menggambarkan tahap penyakit pada pesakit dengan RMS yang baru didiagnos. Walau bagaimanapun, ketepatan (keupayaan untuk memisahkan metastasis RMS daripada lesi lain) oleh 18 F-FDG-PET/CT pada masa ini tidak diketahui.

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sejauh mana ketepatan 18 F-FDG-PET/CT untuk mengesanan metastasis tulang dan paru-paru serta penglibatan nodus limfa pada pesakit dengan RMS yang baru didiagnos.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data kesusasteraan saintifik untuk kajian yang membandingkan keputusan dari 18 F-FDG-PET/CT dengan penilaian tahap standard (pemeriksaan histologi (menggunakan mikroskop untuk memeriksa tisu dan sel) atau hasil kaedah pengimejan lain yang dibincangkan oleh lembaga tumor pelbagai disiplin. Kelebihan menggunakan 18 F-FDG-PET/CT berbanding penilaian tahap standard ialah penggunaan 18 F-FDG-PET/CT sebagai ujian diagnostik tunggal untuk mengesan metastasis, oleh itu mengurangkan beban pesakit dan mengurangkan pendedahan radiasi.

Keputusan utama

Kami memasukkan dua kajian yang melibatkan 36 peserta dengan RMS. Oleh kerana bilangan peserta yang sedikit dalam kajian yang disertakan dan perbezaan kualiti antara kajian, kami tidak dapat mengira nilai ringkasan sensitiviti (perkadaran pesakit yang mempunyai keadaan tersebut dan sesiapa yang menerima keputusan positif dalam ujian) serta kekhususan (perkadaran pesakit yang tidak mempunyai keadaan tersebut dan sesiapa yang menerima keputusan negatif dalam ujian), dan keputusan yang dilaporkan harus dilihat dengan berhati-hati.

Kedua-dua kajian yang dimasukkan melaporkan sensitiviti dan kekhususan 100% daripada 18 F-FDG-PET/CT untuk pengesanan metastasis tulang. Sensitiviti untuk pengesanan metastasis paru-paru adalah 50% dalam satu kajian, dan tidak boleh dianggarkan dalam kajian lain; kekhususan berkisar dari 96% hingga 100%. Dalam kedua-dua kajian, sensitiviti untuk pengesanan penglibatan nodus limfa adalah 100%, dan kekhususan berkisar dari 89% hingga 100%.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Batasan utama ulasan ini adalah semua penemuan berdasarkan hanya dua kajian dengan jumlah 36 peserta dan disebabkan reka bentuk kajian, kami menganggap mereka berisiko tinggi berat sebelah pada domain tertentu.

Dalam kajian yang disertakan, pengesahan histopatologi (pemeriksaan mikroskopik tisu) dianggap sebagai piawai rujukan optimum (kaedah terbaik yang tersedia untuk menentukan kehadiran keadaan tersebut) untuk mengetahui metastasis RMS daripada lesi lain; namun, ini tidak dilakukan untuk semua peserta. Dalam kes di mana pengesahan histopatologi tidak dilakukan, penentuan dari lembaga tumor pelbagai disiplin dianggap sebagai standard rujukan. Penentuan dari lembaga tumor pelbagai disiplin sebahagiannya berdasarkan keputusan pengimejan 18 F-FDG-PET/CT, yang berpotensi menyebabkan kelebihan anggaran sensitiviti dan kekhususan. Selain itu, dalam satu kajian yang disertakan semua peserta menjalani prosedur diagnostik yang sama, manakala dalam kajian lain ini tidak berlaku untuk semua peserta; kajian ini tidak mentakrifkan dengan jelas apa yang dianggap sebagai keputusan ujian positif untuk 18 pengimejan F-FDG-PET/CT. Ini mungkin meyebabkan keputusan yang berat sebelah.

Apakah implikasi ulasan ini?

Bilangan kajian dan peserta adalah terlalu rendah untuk membolehkan kami membuat sebarang kesimpulan yang kukuh. Kajian besar yang menilai ketepatan 18 F-FDG-PET/CT dalam pesakit dengan RMS diperlukan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan dari 1966 hingga 23 Disember 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (masykurin@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information