Adakah pemberian kemoterapi segera atau menunggu simptom boleh memanjangkan hayat orang dengan kanser kolorektal tak tersembuh tanpa simptom?

Soalan ulasan

Kami melakukan ulasan sistematik untuk menyiasat sama ada pesakit dengan kanser kolorektal yang tidak dapat diubati, tanpa tanda gejala, di mana kanser tersebut telah merebak ke bahagian badan yang lain (metastatik), hidup lebih lama dan mengekalkan kualiti hidup, apabila kamu memberikan kemoterapi terus atau menunggu sehingga wujudnya tanda gejala yang berkaitan dengan penyakit (menangguhkan kemoterapi)

Latar belakang

Satu dalam lima orang dengan kanser kolorektal tidak dapat disembuhkan. Untuk mereka, rawatan terbaik ialah kemoterapi paliatif. Kemoterapi boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti cirit- birit atau kegagalan hati. Jika seseorang didiagnos dengan kanser kolorektal tak tersembuh, tetapi belum menunjukkan simptom, satu strategi intervensi yang mungkin adalah menangguhkan kemoterapi sehingga simptom terlihat, untuk mengelakkan kesan-kesan sampingan dan ketakselesaan orang yang menerima rawatan.

Kami ingin meneroka sama ada menangguhkan rawatan kemoterapi memberi kesan ke atas survival dan hasil lain yang relevan, seperti ketoksikan, dan kualiti hidup, berbanding memulakan kemoterapi segera.

Ciri- ciri kajian

Kami memasukkan tiga kajian rawak klinikal. Di dalam kajian-kajian tersebut, orang dengan kanser kolorektal metastatik dan tak tersembuh tanpa simptom, menerima kemoterapi segera (kumpulan kawalan) atau kemoterapi mereka ditangguhkan (kumpulan intervensi). Terdapat sejumlah 176 peserta di dalam kumpulan kawalan dan 175 di dalam kumpulan intervensi.

Keputusan-keputusan utama

Data sedia ada membolehkan kami melengkapkan analisis untuk survival dan ketoksikan keseluruhan. Para peserta kanser kolorektal metastatik tanpa simptom, yang menerima kemoterapi segera tidak hidup lebih lama berbanding mereka dengan kemoterapi tertangguh sehingga simptom muncul. Bagi ukuran ketoksikan, penemuan kami tidak konklusif akibat kekurangan data dari hanya dua kajian dan kurang peserta. Tiada cukup data untuk membandingkan hasil lain yang menarik seperti kualiti hidup, survival bebas progresi (tempoh masa semasa dan selepas rawatan seseorang hidup dengan penyakit, tetapi penyakit tidak menjadi lebih teruk), dan pematuhan kemoterapi (sama ada peserta dapat menyelesaikan rejimen kemoterapi).

Kualiti bukti

Berdasarkan data yang sangat jarang dan ketidakpastian bukti, kami tidak dapat menentukan sama ada terdapat perbezaan dalam survival keseluruhan dan hasil penting lain dalam kalangan orang dengan kanser kolorektal metastatik tak tersembuh, yang menerima kemoterapi segera atau menunggu sehingga setelah simptom muncul.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Firdaus Farhani binti Abu Bakar (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi firdaus.farhani@usm.my.

Tools
Information