Mengapakah ulasan in penting?
Seperti yang digariskan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia, 'globesity' (kenaikan berat badan berlebihan dan kegemukan di seluruh dunia) adalah cabaran utama dunia. Diet yang kaya gula, terutama jika digabungkan dengan aktiviti fizikal yang tidak aktif, boleh menyebabkan berat badan berlebihan dan kegemukan, dan lain-lain kesan kesihatan yang berbahaya. Terdapat kos langsung untuk perkhidmatan kesihatan mereka yang berlebihan berat badan atau gemuk, seperti mencegah dan merawat masalah kesihatan yang disebabkan oleh berlebihan berat badan. Terdapat juga kos untuk masyarakat secara keseluruhan apabila mereka yang sakit kerana berat badan berlebihan atau gemuk tidak dapat bekerja.
Siapakah yang berminat dalam ulasan ini?
Ulasan ini mungkin menarik bagi badan-badan kesihatan awam kerajaan, penggubah polisi, peruncit makanan, dan industri makanan. Ulasan ini dan kemas kini selanjutnya dari tinjauan ini dapat mengubah dasar dan mempengaruhi motivasi kerajaan untuk meletakkan cukai bagi gula yang belum diproses dan makanan dengan gula tambahan. Ini juga dapat memotivasi industri makanan untuk menformulasi semula produk mereka agar mengandungi kadar gula tambahan yang lebih rendah.
Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Kami ingin mengetahui sama ada cukai gula yang tidak diproses dan makanan dengan gula tambahan (selain minuman manis (SSBs)) mengurangkan penggunaannya, mengubah pengambilan tenaga seseorang, dan mengurangkan berat badan berlebihan dan obesiti. Kami juga ingin mengetahui apakah percukaian mengubah diet dan perbelanjaan masyarakat, dan memberi kesan kepada masalah kesihatan yang berkaitan dengan diet.
Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?
Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan dan yang masih berterusan sehingga Oktober 2019. Dari jumlah 24,454 rekod yang diambil, kami mengenal pasti satu kajian 'siri masa terganggu' (ITS) yang memenuhi kriteria kelayakan kami untuk menilai kesan cukai ke atas makanan tambahan gula (tetapi bukan gula yang belum diproses). Kajian ini menggunakan data dari Kajian Anggaran dan Keadaan Hidup Rumah Tangga Penduduk Hungary, dengan pemerhatian dari 40,210 isi rumah. Bukti dari kajian tersebut merangkumi 'dasar' (situasi sebelum percukaian), mulai dari Januari 2008 hingga Ogos 2011. Cukai produk kesihatan awam Hungary telah dilaksanakan pada September 2011. Tempoh susulan (mengukur kesan percukaian) adalah 16 bulan. Kajian ini dibiayai oleh Institut Scottish untuk Kajian dalam Ekonomi (SIRE) Geran Penglibatan Awal Kerjaya.
Apakah bukti yang diperolehi daripada ulasan ini?
Kajian terlibat memberikan bukti yang sangat terhad bahawa cukai makanan dengan gula tambahan mengurangkan penggunaannya sebanyak 4%. Kami sangat tidak pasti mengenai bukti ini kerana kajian ini tidak menggunakan kaedah yang kuat, melihat jenis cukai yang lain serta mengenakan cukai bagi makanan dengan gula tambahan, dan mungkin juga makanan tidak dikelaskan dengan betul. Kami tidak pasti sama ada cukai terhadap makanan dengan gula tambahan mempunyai kesan untuk mengurangkan penggunaannya. Kajian terlibat tidak menyelidik kesan cukai terhadap gula yang belum diproses.
Apakah yang harus berlaku seterusnya?
Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menilai keberkesanan pencukaian terhadap gula yang tidak diproses atau makanan dengan gula tambahan untuk mengurangkan penggunaannya dan mencegah kegemukan atau penyakit yang lain. Kajian harus dilakukan di negara-negara yang telah melaksanakan cukai ini dan harus melihat keberkesanan kos serta manfaat kesihatan bagi cukai gula yang tidak diproses atau makanan dengan gula tambahan sebagai dasar kesihatan awam bagi mencegah berat badan berlebihan, kegemukan atau penyakit yang lain. Negara yang telah melaksanakan cukai ini adalah Bermuda, Dominica, Hungaria, India, Norway, Navajo Nation (USA), dan St. Vincent dan Grenadines.
Diterjemahkan oleh Sabrina Rosli (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.