Matlamat ulasan
Dalam kalangan orang yang mengalami gangguan sumsum tulang pendarahan boleh menjadi masalah kerana kiraan platelet yang rendah, atau platelet yang tidak berfungsi dengan baik, atau kedua-duanya. Transfusi platelet boleh diberikan apabila pendarahan berlaku untuk menghentikan pendarahan, atau sebelum pendarahan berlaku untuk mengelakkannya.
Dalam ulasan ini kami menyiasat sama ada pemindahan darah perlu diberikan hanya apabila pendarahan berlaku, atau lebih awal sebagai langkah pencegahan. Populasi sasaran kami adalah semua individu tidak kira umur yang mengalami gangguan sumsum tulang.
Latar belakang
Sumsum tulang adalah tempat banyak jenis sel darah dihasilkan. Sel darah merah diperlukan untuk membawa oksigen ke semua bahagian badan; sel darah putih pula melawan jangkitan; dan platelet dalam darah membantu membentukkan bekuan dan mencegah pendarahan. Kegagalan sumsum tulang mempunyai pelbagai punca dan boleh berlaku semasa lahir atau kemudian dalam kehidupan, dan mungkin mengakibatkan terlalu sedikit daripada mana-mana atau kesemua tiga jenis sel darah dalam badan.
Terlalu sedikit platelet boleh menyebabkan individu berisiko mengalami pendarahan yang serius atau mengancam nyawa. Transfusi platelet biasa digunakan untuk mencegah atau merawat pendarahan pada individu yang mengalami gangguan sumsum tulang. Walau bagaimanapun, terdapat risiko berkaitan dengan penggunaan transfusi platelet secara tetap, seperti tindak balas transfusi dan jangkitan yang dihantar oleh transfusi.
Pada masa ini adalah tidak jelas sama ada polisi transfusi terbaik adalah untuk memberikan transfusi platelet sahaja apabila pendarahan berlaku atau memberinya untuk mengelakkan pendarahan.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian klinikal (kajian rawak terkawal dan kajian tanpa rawak yang direka dengan baik) orang dari semua umur dengan gangguan sumsum tulang dan bilangan platelet yang sedikit. Bukti adalah terkini sehingga 12 Oktober 2017. Satu kajian layak untuk dimasukkan dalam ulasan. Kajian ini dihentikan selepas mengambil hanya sembilan peserta kerana ia mengambil masa tiga tahun untuk merekrut sembilan peserta (kajian itu telah merancang untuk merekrut 60 peserta dalam masa dua tahun). Kami tidak menemui sebarang kajian yang sedang berlangsung.
Keputusan utama
Satu-satunya kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak melaporkan sebarang hasil.
Kesimpulan
Kami tidak menemui bukti untuk membantu kami memutuskan sama ada memberi pemindahan platelet untuk merawat pendarahan adalah sama baik dengan memberi pemindahan platelet apabila kiraan platelet berada di bawah paras yang telah ditetapkan. Terdapat keperluan yang mendesak untuk kajian berkualiti baik untuk menjawab soalan ulasan ini.
Kualiti bukti
Kami tidak menilai kualiti bukti kerana tiada data tersedia daripada satu kajian yang disertakan.
Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my