Perubatan untuk rawatan depresi dalam penyakit penghalang pulmonari kronik

Penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD) adalah istilah yang menerangkan terutamanya dua keadaan paru-paru: bronkitis kronik dan emfisema. Simptom utama COPD termasuklah sesak nafas, batuk berterusan, berdehit (‘wheezing’), dan/atau jangkitan dada yang kerap. COPD tidak boleh disembuhkan, tetapi rawatan dapat bantu memperlahankan perkembangan penyakit dan melegakan simptom. Depresi sangat lazim dalam penghidap COPD, tetapi kerap ianya tidak dirawat. Kajian menunjukkan bahawa depresi yang tidak dirawat dalam penghidap COPD boleh memburukkan kualiti hidup, meningkatkan serangan COPD dan kemasukan hospital, dan menjadikan pelan rawatan COPD seterusnya sukar. Rawatan depresi termasuk juga ubat antidepresan, terapi psikologi, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, pengesyoran berasaskan bukti berkenaan penggunaan ubat antidepresan khusus untuk pesakit COPD tidak terdapat pada masa ini.

Mengapakah ulasan ini penting?

Pada masa ini tiada bukti jelas menunjukkan samada antidepresan boleh mengurangkan dengan berkesan dan selamat simptom kemurungan penghidap COPD, yang demikian adalah penting untuk menilai kajian ujian sedia ada.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Ahli profesional penjagaan kesihatan, penghidap COPD dan kemurungan, penyelidik dan penggubal dasar akan berminat dengan penemuan ulasan ini.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Matlamat utama kami adalah untuk menilai samada rawatan farmakologi (contohnya antidepresan) boleh dengan berkesan dan selamat merawat kemurungan berkaitan COPD.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Ulasan ini merangkumi kajian eksperimen yang dipanggil kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta diletakkan ke dalam kumpulan rawatan berdasarkan kaedah rawak) yang membandingkan keberkesanan intervensi farmakologi (antidepresan) kepada plasebo (rawatan tidak aktif dalam bentuk yang sama dengan rawatan aktif, contoh, pil). Peserta kajian adalah orang dewasa yang telah didiagnosis dengan COPD dan kemurungan.

Apakah informasi yang kami perolehi dari bukti ulasan ini?

Kami telah mengenal pasti hanya empat kajian di serata dunia yang layak untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami. Ini bermakna bukti adalah terhad untuk menyokong penggunaan antidepresan bagi rawatan kemurungan dalam pesakit yang mempunyai COPD. Hanya satu kajian yang telah menilai antidepresan trisiklik, nortriptyline, yang menunjukkan pengurangan simptom kemurungan bila dibandingkan dengan plasebo. Tiga kajian telah menilai kelas generasi baru antidepresan yang dikenali perencat pengambilan semula serotonin berpilih (SSRIs), tidak menemui bukti keberkesanannya dalam menambahbaik simptom kemurungan. Disebabkan bukti yang terhad, kami tidak dapat membuat penyataan muktamad mengenai keberkesanan tetapi juga keselamatan antidepresan bila digunakan untuk kemurungan berkaitan COPD. Walaubagaimanapun, SSRIs mungkin meningkatkan keupayaan senaman dalam penghidap COPD.

Memandangkan penemuan-penemuan semasa adalah berdasarkan empat kajian kecil dengan bukti yang dinilaikan berkualiti sangat rendah, adalah penting untuk menterjemahkan keputusan kami dengan berhati-hati.

Apa yang sepatutnya berlaku selepas ini?

Kekurangan bukti menghalang kami daripada membuat pengesyoran yang jelas bagi doktor, ahli profesional penjagaan kesihatan yang lain, penyelidik, atau penggubal dasar. Lebih banyak kajian dengan kualiti kaedah yang lebih baik dan bilangan peserta yang lebih besar adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information