Soalan ulasan
Kami ingin tentukan jika sebarang intervensi (ubat, psikologi atau pendidikan) yang membantu orang mematuhi terapi kelasi besi.
Latar belakang
Orang dengan penyakit sel sabit atau talasemia yang menerima transfusi secara berkala terdedah kepada besi berlebihan yang boleh menyebabkan toksisiti organ dan kematian. Terapi kelasi besi diguna untuk mencegah atau merawat besi berlebihan, tetapi ia mungkin menjadi regimen mendesak, dengan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini. Terdapat tiga jenis pengkelat besi yang diguna untuk merawat besi kelebihan: deferoxamine diberi secara subkutan (dengan menyuntik ubat ke lapisan tisu antara kulit dan otot), dan dua agen yang diambil secara oral, deferiprone dan deferasirox.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga 1 Ogos 2022.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari literatur untuk kedua-dua kajian rawak dan bukan rawak, dan mendapati 19 kajian rawak dan satu kajian bukan rawak, dengan jumlah 1525 peserta, yang diterbitkan antara 1997 dan 2021.
Keputusan utama
Sebanyak 18 kajian melihat intervensi dadah, satu kajian melihat intervensi pengurusan ubat, dan satu menilai intervensi pendidikan (kajian bukan rawak).
Kami tidak pasti jika agen tunggal atau kombinasi agen membuat perbezaan dalam kadar kepatuhan, kesan buruk yang serius atau mortaliti. Kualiti hidup, diukur mengguna soalselidik yang disahkan, hanya dilaporkan dalam tiga kajian, tetapi tiada cukup data dilaporkan untuk menentukan perbezaan antara rawatan.
Tiada bukti tentang strategi intervensi untuk pelbagai kumpulan umur.
Kami mendapati kepatuhan luar biasa yang tinggi kepada semua ubat serta kombinasi ubat-ubatan dalam semua kajian. Ini mungkin kerana para peserta dipilih berdasarkan kemampuan mereka untuk mengikut rejimen ubatan. Selain itu, kepatuhan mungkin meningkat dalam kalangan peserta kajian apabila ada penglibatan lebih tinggi klinisian dalam penjagaan.
Kami simpulkan kajian rawak dan bukan rawak di dunia sebenar yang dijalankan di komuniti dan di klinik diperlukan untuk menilai pelbagai strategi yang terbukti dan tidak terbukti yang mungkin berguna untuk meningkatkan kepatuhan terhadap terapi kelasi besi.
Dua kajian menilai intervensi bukan ubat: satu kajian enam bulan pengurusan ubat melaporkan data boleh guna yang sangat sedikit dan kami tidak dapat pastikan kesan intervensi tersebut. Kajian lain yang menilai intervensi pendidikan adalah tidak seimbang, dan data tidak membolehkan perbandingan yang baik, oleh itu kami tidak dapat menggunanya.
Kualiti (kepastian) bukti
Kami menilai kepastian bukti sebagai rendah hingga sangat rendah bagi semua hasil dalam ulasan ini. Ini adalah akibat kajian-kajian yang berisiko bias serius atau sangat serius, dan anggaran hasil yang tidak tepat (selang keyakinan yang luas); serta tidak dapat diapliksi ecara meluas (beberapa kajian dilakukan hanya dalam kalangan kanak-kanak berumur spesifik dan memenuhi kriteria spesifik).
Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my